RENCANA
RENCANA PILIHAN DARI AKHBAR ONLINE
Berita Harian Online:
Ungku Aziz ikon kesarjanaan evergreen progresif, mantap
Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang
PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah
sebuah institusi kesarjanaan yang berwibawa. Ketokohan dan peranannya
membuatkan beliau begitu istimewa. Bahkan nama Ungku Aziz sinonim dengan
perkembangan universiti dan dunia akademia tanah air.
Sejarah hidup Ungku Aziz penuh warna gemilang. Dilahirkan di London pada 28
Januari 1922. Membesar di Johor Bahru dan mendapat pengajian tinggi awal di
Universiti Malaya, Singapura pada 1951.
Pada usia 40 tahun, beliau dilantik pemegang kursi profesor
ekonomi Universiti Malaya. Antara bidang pengkhususan utama beliau ketika itu
ialah kemiskinan desa. Selain menjadi tokoh ekonomi, Ungku Aziz juga adalah
pentadbir yang cekap. Ungku Aziz, rakyat tempatan pertama dilantik menjadi Naib
Canselor pada 1968, menggantikan Dr J H E Griffiths. Justeru, The Renaissance
Man (2010) diterbitkan adalah koleksi sebelas esei menceritakan pelbagai aspek
kehidupan dan sumbangan Ungku Aziz. Daripada sejarah hidup sehinggalah idea dan
pemikiran Ungku Aziz dibincangkan kenalan rapat dan warga Universiti Malaya
yang pernah berkhidmat bersama beliau.
Buku suntingan Hashim Yaacob, Abu Bakar Abd Hamid, KT Joseph dan Azizah Hamzah
itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mac lalu. Bagi saya, Ungku
Aziz adalah ikon kesarjanaan. Minat ilmiahnya luas tidak terhad kepada
persoalan ekonomi, di samping penguasaan asas ilmu yang mantap membolehkan
Ungku Aziz menjadi sarjana ‘evergreen’ yang progresif dan mantap.
Buah fikirannya melampaui tembok birokrasi dan sempadan negeri. Selain itu,
Ungku Aziz mementingkan ilmu dan aktiviti keilmuan. Skop pembacaannya tidak ada
sempadan dan keghairahan intelektualnya sentiasa meluap-luap walaupun sudah
lama bersara. Dalam pelbagai majlis ilmu, kehadirannya dinanti-nanti untuk
mendengar bicara dan hujahnya.
Bagi beliau, pencapaian tertinggi kerjanya ialah pelantikan sebagai pemegang
kerusi profesor ekonomi, bukan sebagai Naib Canselor. Malah Ungku Aziz
mempunyai definisi tersendiri mengenai jawatan Naib Canselor, iaitu pemimpin
komuniti intelektual, bukan pentadbir sekolah tinggi. Dengan kata lain, Naib
Canselor perlu menonjolkan imej kesarjanaan dan menguasai pelbagai asas serta
disiplin ilmu, tidak hanya bergantung kepada kuasa eksekutif seperti termaktub
dalam Perlembagaan Universiti.
Saya bersetuju dengan Ungku Aziz bahawa kesarjanaan bukan suatu
kerjaya. Jika ditelusuri sejarah dunia, kita dapati kesarjanaan lebih bersifat
peranan dan tanggungjawab, bukan sejenis pekerjaan. Hakikatnya kesarjanaan
mempunyai kepentingan dan pengaruhnya tersendiri untuk mewarna dan membangunkan
minda masyarakat sebelum terbina sesebuah negara atau tamadun.
Itulah sebabnya kemunculan sesebuah tamadun besar biasanya dilatari tradisi
kesarjanaan mantap. Sehubungan itu, pada 25 dan 26 Mac ini, Universiti
Teknologi Malaysia menganjurkan Forum Presiden Universiti (FPU) di Johor Bahru.
Program dihadiri lebih 20 pemimpin universiti (sama ada bergelar Naib Canselor,
Presiden dan Rektor) dari pelbagai negara itu, adalah inisiatif untuk memajukan
bidang kesarjanaan melewati sempadan negara dan kepentingan organisasi.
Isu utama dibincangkan ialah peranan universiti dalam konteks model ekonomi
baru berteraskan inovasi. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
bahawa Malaysia perlu keluar daripada kepompong ekonomi berteraskan buruh murah
dan nilai rendah, menuju ekonomi nilai tinggi menggunakan kreativiti dan
inovasi.
Justeru, peranan universiti sebagai pencetus idea dan pemangkin pembangunan
negara menjadi kritikal dan semakin diharapkan. Forum sempena minggu
konvokesyen UTM itu juga menyentuh peranan baru kesarjanaan dalam perspektif
penjanaan nilai tinggi. Konsep nilai tinggi juga tidak terhad kepada nilai
barang atau perkhidmatan yang boleh diperdagangkan, tetapi merangkumi budaya
murni dan ekosistem lestari.
Secara khusus UTM cuba menjambatani komuniti intelektual sejagat menerusi
inisiatif Perkongsian Akademik Iskandar Malaysia (IMAP). Menerusi IMAP,
pelbagai program pertukaran mahasiswa dianjurkan. Pada 2010 seramai 5,000
mahasiswa UTM mengikuti pelbagai aktiviti akademik menerusi Global Outreach
Program (GOP) di luar negara khususnya di universiti yang menyertai FPU.
Sementara 500 mahasiswa dari universiti luar negara mengambil bahagian dalam
GOP di UTM. Pada 2009, lebih 1,110 mahasiswa UTM mendapat manfaat menerusi GOP.
Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pertukaran staf akademik turut diadakan
menerusi IMAP termasuk skim sabatikal dan profesor pelawat.
Mengambil saranan Ungku Aziz – biarpun disuarakan dalam konteks UM – bahawa
staf warga asing diperlukan sehingga lebih 30 peratus untuk memastikan wujudnya
persekitaran ilmiah segar dengan kepelbagaian perspektif. Kesegaran ilmiah juga
tercerna menerusi wacana secara tulisan dan lisan walaupun kadangkala hangat
dengan pelbagai sudut pandang yang tampak bercanggahan.
Wacana secara beradab adalah suatu kemestian untuk menyegarkan
daya fikir dan dinamisme sesebuah masyarakat kampus. Itu juga salah satu
petunjuk mengenai potensi dan kemajuan sesebuah negara.
Bagi saya, Ungku Aziz adalah ikon akademik yang masih relevan walaupun usianya
sudah menjangkau 88 tahun. Sebagai ikon, Ungku Aziz mendapat sanjungan
masyarakat dengan kedudukan tinggi yang melayakkan beliau sebagai penerima
pertama Anugerah Merdeka (Pendidikan) pada 2008.
Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia
dan penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik)