RENCANA:

Tindakan Bestari

Dalam kehidupan kita tiap hari,  kita mengambil tindakan dan membuat keputusan.   Dari sekecil perkara,  seperti apakah minuman kita di sebelah pagi sebelum bertolak keluar rumah mencari rezeki,   kepada yang besar,   seperti apakah perancnagan yang harus kita lakukan untuk menambah pendapatan bulanan,   kita perlu mengambil tindakan dan membuat keputusan.

Bukan kita yang dewasa sahaja yang mempunyai tugas tersebut,  malah anak kecil kita juga perlu melalui aktiviti yang sama.  Cuma berat ringan keputusan yang diambil menjadi perbezaan.

Hari ini,  tiap saat kita dengar kisah tindakan dan keputusan yang diambil oleh orang-orang yang lebih  ‘besar’,  lebih berkuasa dan berpengaruh dari kita.   Pemimpin-pemimpin kita perlu mengambil tindakan terhadap sesuatu untuk masyarakat,  bangsa  dan  Negara.   Ada keputusan yang disukai dan ada juga keputusan yang tidak disukai.    Ini adalah lumrah alam.   Baka kata pepatah Inggeris   “Heavy is the head that wears a crown”  atau dalam bahasa Melayunya bermaksud  “beratlah kepala yang menjunjung mahkota’.

Walau apa pun,  tindakan dan keputusan adalah dua perkara yang sudah menjadi darah daging kepada kita,  terutama dalam kehidupan bertamadun hari ini.  

‘Decision making’  atau membuat keputusan,   adalah sinonim dengan kedudukan atau status kita,     apatah lagi jika kita memegang jawatan atau tanggungjawab sebagai seorang  ‘kepala’  atau  ‘ketua’  atau  ‘pemimpin’.

Aktiviti ini membawa bersamanya pelbagai masalah.  

Memang sukar untuk kita mendapat persetujuan dari apa juga keputusan atau tindakan yang kita ambil.   Walau pun tindakan yang kita ambil itu,  pada pandangan kita,   akan membawa banyak faedah dan manfaat kepada yang terlibat,   akan tetapi ada juga yang kurang atau tidak menyetujuinya.   Maklumlah,   manusia rambut mungkin sama hitam,   hati atau perasaan adalah berlainan atau mempunyai perbezaan.

Dalam hal ini,   kita hendaklah sedar bahawa jika tindakan yang kita ambil itu adalah dengan bermotifkan kebaikan,  kejujuran  dan  keikhlasan,    maka fikiran kita akan berada dalam keadaan aman dan tenang.   Rasa bersalah dan kelam kabut akan mendorong kepada fikiran yang tidak tentu arah yang akan menghasilkan tindakan yang salah

Ada yang berkata bahawa kadangkala terdapat mereka yang mempunyai rasa cemburu,  permusuhan  dan  benci terhadap kita,   tetapi jika kita sentiasa mempunyai sifat yang baik terhadapnya  dan  tidak mempunyai perasaan buruk sangka,  dan kita tidak pula bertindak selaras dengan sifat-sifat negatif ini,   maka perasaan ini terhadap kita akan berubah juga pada satu ketika nanti.   Mungkin mengambil masa,   dan perlu kita berikhtiar kearahnya. 

Ada juga yang berpendapat bahawa jika tiap tindakan itu dilaksanakan dengan rasa,  maksud dan motif yang baik,   maka akan wujudlah kebolehan kita untuk menyatakan yang terbaik berpunca dari dalam jiwa kita sendiri.   Ini dengan sendirinya akan membantu kita mewujudkan satu suasana dan perhubungan baik antara kita dengan alam sekeliling.

Berbalik kita kepada soal  ‘membuat keputusan atau mengambil tindakan’  tadi.   Satu tindakan atau keputusan yang diambil akan membayangkan sifat dalaman dan niat seseorang pembuat keputusan itu.

Jika tindakan itu disertai dengan unsur-unsur kebaikan,   maka ia secara otomatik akan menjana satu suasana yang aman dan tenteram.   Jika sebaliknya,  maka suasana yang dihasilkan juga akan membawa kemudaratan.   Ini membawa saya kepada hakikat bahawa manakala niat kita bersih,  maka akan tercetuslah keamanan dan ketenteraman.   Jadi tiap seorang dari kita perlulah mengkaji dan memahami keikhlasan dalam jiwa kita sendiri.   Ini seharusnya dijadikan teman kepada apa juga tindakan atau keputusan yang hendak kita ambil dalam kehidupan seharian kita.

Manakala keadaan fizikal dan minda kita bersih,  maka aktiviti dan tindakan yang kita ambil pun bersih dan akan dianggap mulia.  Ini seterusnya akan menyemarakkan keyakinan terhadap diri kita.  Dan jika ianya disertai dengan inisiatif dan suasana kegembiraan dalam melaksanakan tiap tugas dan tindakan itu,  kejayaan akan muncul.   Jika ini berlaku,  maka tidak akan ada kelak sebarang tindakan yang akan membawa masalah.

Jika kita lihat suasana di keliling kita hari ini,   dan perhatikan tindakan dan keputusan yang telah dan sedang diambil oleh mereka yang berwajib,  beberapa soalan akan timbul di fikiran kita.   Apakah tindakan dan keputusan ini mendatangkan makna dan faedah kepada hidup kita?   Dan bagaimanakah tindakan dan keputusan ini dicapai?   Apakah suasana di sebalik keputusan dan tindakan yang diambil itu?   Apakah yang mendorong penghasilannya?

Soalan-soalan ini sudah semestinya bermain di fikiran kita,   terutama kita hidup  dalam dunia yang penuh tamadun dan dalam suasana demokrasi pula.   Tiap tindakan dan keputusan yang diambil,   memang mempunyai hubungkaitnya dengan kehidupan kita.

Make a Free Website with Yola.