RENCANA:

Tamadun Manusia... Satu Analisis

Untuk saudara yang budiman:

Artikel ini ditulis semata-mata memikirkan bahawa masanya telah tiba bagi kita,  tak kira di mana kita berada,   sama ada di bandar atau di desa,  untuk menimba sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh,   dan menggunakan ia dalam kehidupan kita  supaya dapatlah kita hadapi hidup di zaman mendatang dengan lebih tenang,  yakin,  bebas dan dapat berfikir dengan  lebih tepat.

Pembangunan dan kamajuan yang dialami oleh tamadun manusia membawa bersamanya pelbagai ilmu pengetahuan,   seiring dengan idea dan konsep baru dalam menghadapi kehidupan dan cabaran hidup.  Tiap satunya mempunyai kaedah dan cara ianya dilaksanakan yang tersendiri.

Ini semua dihasilkan oleh fikiran dan minda yang telah mengalami berbagai bentuk  dan peringkat pembangunan dan kemajuan.   Pemikiran manusia bukanlah lagi berada pada tahap yang wujud di zaman pra sejarah dahulu  … ringkas dan mudah.   Sememangnyalah terdapat perubahan-perubahan sesuai dengan keadaan semasa manusia itu sendiri.

Ini adalah satu hakikat.  Dan ini adalah satu keadaan yang menghasilkan munculnya pelbagai   strata manusia dalam senario kehidupannya.

Apabila tercetus konsep pembelajaran dan pendidikan,  maka keadaan ini telah menghsilkan pula perbezaan di antara strata yang telah wujud.   Terdapatlah golongan-golongan yang berilmu,  yang pandai,  yang cerdik  dan    sambil itu wujud juga golongan-golongan yang kurang berilmu dan kurang berpengetahuan.   Ini telah menghasilkan timbulnya jurang yang membezakan satu  golongan dengan golongan yang lain.

Dan ini juga telah mewujudkan manusia yang pintar,  pandai,  cerdas  dan  berakal fikiran.

Masalah perhubungan di antara manusia,  dipercayai mula dikenalpasti manakala kumpulan bijak pandai ini muncul.

Kumpulan ini mula mengatur langkah untuk menjadi pemimpin atau juara yang mahu mewakili yang lain dalam menghadapi kehidupan seharian mereka.  Mereka mula menyediakan peraturan-peraturan yang biasanya akan mengekalkan kedudukan mereka dalam  golongan berkaitan.

Akan tetapi tidak boleh dinafikan wujud juga di kalangan mereka ini insan-insan yang benar-benar perihatin terhadap kebajikan anggota kumpulan yang kurang berilmu ini.   Insan seperti ini banyak terdapat dalam sejarah  ….  insan yang berusaha membawa kebahgiaan dan kesejahteraan hidup kepada manusia.    Mereka melaksanakan apa juga yang perlu,  membuat kajian,  penyelidikan  dan seumpamanya,  yang hasilnya membawa faedah kepada manusia.   Sumbangan dan pengorbanan mereka terhadap usaha mewujudkan kehidupan yang lebih baik kepada manusia tidak ada tolok bandingnya.

Di Negara kita,   ramai manusia seperti ini telah membantu kita hidup dengan penuh kejayaan dan kesempurnaan.

Dan kemunculan dua jenis manusia inilah yang menyebabkan timbulnya kaedah-kaedah pertadbiran dan pengurusan yang berbagai bentuk.   Dan dua jenis ini pula mengumpulkan pengikut-penikut mereka sendiri yang masing-masing sanggup memperjuangkan apa juga ideologi dan cara hidup yang dikemukakan.   Biasanya ideologi yang diperkenalkan ini,  kononnya adalah untuk kebaikan dan kepentingan pengikut-pengikut ini.   Sedangkan pada hakikatnya keadaan ini tidak seperti yang dibayangkan.

Inilah yang menghasilkan keadaan tidak stabil dan tidak tenteram di kalangan manusia.

Cuba kita bandingkan keadaan ini dengan keadaan semasa yang wujud di kalangan masyarakat kita hari ini.   Rasanya ada persamaannya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sifat sesetengah individu yang menganggap dirinya sebagai pemimpin atau yang memimpin,   adalah sama dengan mereka yang menjadikan dirinya sebagai kepala atau ketua golongan-golongan manusia di awal tamadun dahulu.   Pendek kata inilah satu dari sifat yang telah diwarisi sejak berkurun lamanya.   Cuma mungkin kaedah pelaksanaan fungsinya agak berbeza,  tetapi matlamat yang dituju adalah sama.

Ini adalah lumrah dunia.

Dalam senario yang lebih dekat kepada kita,   keadaan ini dapat kita saksikan wujudnya.   Hari ini dapat kita lihat pemimpin yang benar-benar berusaha untuk membawa kesejahteraan  dan  kemajuan kepada masyarakat yang dipimpinnya.    Sambil itu terdapat juga pemimpin yang melaksanakan sesuatu aktiviti itu semata-mata untuk kepentingan dirinya sendiri  ….  untuk meraih keuntungan dan kekayaan,  dan mengukuhkan kuasa peribadinya.

Keadaan inilah yang mewarnai kehidupan satu-satu masyarakat itu.   Inilah yang mendorong masyarakat berfikir dan sentiasa aktif memikirkan perihal hidupnya,   menentukan wujudnya keseimbangan suasana yang dicetuskan oleh kehadiran dua kumpulan manusia ini,  yang masing-masing mempunyai agendanya.

Dan inilah juga tugas dan fungsi kita iaitu berfikir,   kerana kita boleh berfikir.

Make a Free Website with Yola.