RENCANA: 

Perjalanan Hidup 

Jika kita lihat keadaan sekeliling hari ini,  akan kita dapati banyak perkara berlaku yang secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi hidup kita.   Kadangkala,  bahang dari ini semua menyebabkan kita berasa serba salah … keliru … takut … khuatir … curiga dan sebagainya… terutama sekali jika suasana tidak menentu menyelubungi hidup kita.

Rasanya dalam kita menjalani hidup hingga kini,  sudah banyaklah yang kita lalui .. segala ranjau dan duri telah kita langkau dengan selamat.  Rimba tebal telah kita rintasi … dan laut bergelora telah kita renangi.   Maknanya,  dengan pengalaman yang kita perolehi selama ini,  semua ini bukanlah merupakan satu halangan,  atau rintangan dan masalah yang besar.

Dalam kehidupan yang telah kita jalani,  banyak pelajaran yang telah kita kutip.  Tiap satunya telah kita kenalpasti dan dapat kita gunakan untuk faedah kita.   Akan tetapi kita tidak harus lupa bahawa apa juga tindakan yang kita ambil,   pelbagai faktor menjadi pengaruhnya.  Saya kira,  secara kasarnya terdapat beberapa faktor penting.  Antaranya ialah faktor yang menghasilkan pengaruh dalaman  -  pengaruh dari diri kita sendiri … terutamanya emosi dan perasaan kita .   Ada juga faktor-faktor luaran atau dari luar yang menjadi pemangkin kepada tindakan kita.   Bukan itu saja,  bahkan banyak lagi … mithalnya faktor kewangan,  keselamatan, kesihatan,  kemasyarakatan dan sebagainya.

Jika kita ibaratkan perjalanan hidup kita,  sama seperti perjalanan kita  menuju  sesuatu destinasi,  maka faktor yang mempengaruhi tindakan kita itu,  yang kadangkala menjadi rintangan dan halagan,  bolehlah kita samakan dengan batu,  lobang,  jambatan runtuh  dan  sebagainya yang harus kita lalui dalam perjalanan itu.   Tetapi dengan menggunakan akal fikiran,  dengan berbekalkan keazaman dan keberanian,  dapat juga kita atasi dan teruskan perjalanan kita.

Hari ini keadaan ini menular dalam kehidupan kita.   Banyak perkara cuba mewujudkan rintangan dalam perjalanan hidup kita … banyak perkara juga cuba mempengaruhi kita.  Kepada saya,  ini adalah sebagai satu percobaan dan dugaan untuk kita hadapi.   Kerana tanpa ini semua pula,   manakan boleh kita muncul sebagai seorang insan yang bersedia menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar di masa hadapan dalam hidup kita.   Ini semua boleh kita anggap sebagai satu sesi pembelajaran untuk kita.  Tutor atau guru kita ialah pengalaman yang kita lalui itu.  Pepatah Inggeris ada menyatakan bahawa  ‘Experience is the best teacher’  atau pengalaman ialah guru yang terbaik sekali.

Dalam senario yang kita hadapi hari ini,   banyak perkara dan peristiwa menduga kita.   Kalau kita teliti dan buat kajian,   ada yang boleh kita hadapi dengan tenang,  dan ada juga yang akan mengkusutkan kehidupan kita buat beberapa ketika.

Untuk ini kita perlu memberi fokus kepada sesuatu yang boleh membantu kita,  terutama sekali dalam usaha kita memahami apa yang berlaku  di sekeliling kita.  Ini membawa saya kepada soal apakah yang perlu kita tumpukan perhatian.

Asas kepada usaha ini ialah kita harus mencari ilmu dan pengetahuan.   Dengan pengetahuan dapatlah kita mengetahui dan memahami apa yang berlaku,  dan mungkin dapat juga kita meramalkan apa yang akan berlaku.   Maksudnya ialah bahawa tumpuan kita ialah usaha menimba ilmu pengetahuan.

Mengikut Nor Hartini bt Saari,   dari IKIM  “untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,  maka pendidikan yang dapat menentukan sejauh manakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh lagi.   Dengan kata lain,  semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai,  semakin terbuka luas peluang pasaran untuknya.   Namun begitu,  kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja,  tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman,  bertanggungjawab,  amanah,  mempunyai akhlak atau moral yang tinggi serta matang dalam menguruskan kehidupan diri dan keluarga dengan lebih sempurna.”

Katanya lagi,  “pendidikan merupakan satu pra-syarat kepada kemajuan kerana pendidikan dikaitkan dengan penyebaran dan penghasilan ilmu-ilmu pengetahuan yang dapat membantu manusia membangunkan kehidupannya dengan lebih baik lagi.”

Dan ilmu pengetahuan juga kita dapat menentukan halatuju dalam kehidupan kita …  dapatlah kita memilih dan mengenalpasti apa yang perlu kita lakukan dan apa yang perlu kita ketepikan.

Keadaan kehidupan kita,  hari ini dan di masa mendatang,  memerlukan ilmu pengetahuan yang selengkapnya.

Make a Free Website with Yola.