RENCANA:

Kanak-kanak Dan ICT 


Minatnya menambah ilmu menghasilkan kecekapannya dengan komputer.

Dua orang kanak-kanak … di dua lokasi berasingan di Kelantan … satu di bandar Kota Bharu dan satu di kawasan desa Kg Kok Pasir, Tumpat …  begitu tekun menggunakan alat computer.  Masing-masing menggunakan alat ini dengan baiknya.   Mereka menggunakannya untuk mencari bahan-bahan tambahan yang boleh digunakan dalam pengajian mereka.   Mereka melayari lamanweb untuk mendapatkan tambahan ilmu pengetahuan.   Dalam usaha ini mereka dipandu dengan baik dan bijak oleh ibubapa.

Inilah scenario yang sepatut dan sewajibnya.   Alat komputer -  peralatan ICT yang canggih  -  ini sudah sepatutnya digunakan untuk kerja-kerja yang berfaedah.    Kenak-kanak dua orang ini menggunakan alat ini mengikut yang sebaiknya … iaitu melayari lamanweb yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh membantu mereka dalam pembelajaran masing-masing.

Hari ini memang sudah ramai kanak-kanak menggunakan alat computer dengan cara yang berfaedah dan menguntungkan.   Ini adalah kerana mereka dipandu dan dibimbing oleh ibubapa masing-masing,  yang sudah pun perihatin terhadap usaha-usaha yang harus dilakukan oleh anak-anak mereka.

Keadaan ini timbul kerana sudah wujud di kalangan masyarakat hari ini kesedaran,  bahawa pendidikan kanak-kanak

Tumpuan adik ini pada ilmu yang terpapar di monitor komputernya.

 bukan setakat di sekolah sahaja.   Di sekolah mereka belajar mata-mata pelajaran yang perlu mereka pelajari untuk menghadapi peperiksaan.   Mata-mata pelajaran seperti Bahasa Melayu,  Bahasa Ingggeris,  Matematik,  Sains,  Geografi,  Sejarah,  Pendidikan Islam dan lain-lain lagi mereka ikuti.   Walaupun buku-buku teks disediakan,  akan tetapi untuk melengkapkan pembelajaran mereka,  perlu ditokok-tambah dengan bahan-bahan lain yang boleh di dapati di dalam buku-buku rujukan yang terdapat di perpustakaan-perpustakaan,  atau pun melalui alat computer mereka di Internet.

Penggunaan alat computer untuk melayari lamanweb di Internet sekarang ini sudah menjadi satu perkara biasa,  khususnya di kalangan mereka yang menyedari kepentingan bahan tambahan untuk melengkapkan pembelajaran anak-anak di sekolah.

Rasanya untuk melengkapkan lagi usaha ini,   banyak perkara perlu dilaksanakan,  terutamanya dalam menyediakan bahan-bahan atau content yang sesuai dan berguna untuk para pelajar sekelian.   Inilah yang utama dalam bidang penggunaan alat ICT. 

Dan ini membawa kita kepada galakan penggunaan kaedah ini,  terutamanya untuk pelajar-pelajar yang tinggal di desa.   Memang menjadi idaman tiap ibubapa untuk menentukan pencapaian yang cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pembelajaran.  Bukan semuanya berkemampuan untuk menghantar anak-anak ini ke pusat-pusat tuisyen.   Jadi kaedah ICT lah satu alternatif yang sebaik-baiknya.    Dan melalui saluran inilah dapat disediakan bahan-bahan,  bukan sekadar memaparkan soalan-soalan pemeriksaan dahulu dan akan datang,  tetapi lebih penting ehwal mata pelajaran yang dipelajari itu.   Rasanya inilah satu tugas yang perlu ditumpukan perhatian. 

Alat computer hari ini mudah diperolehi dan murah pula harganya …. dan boleh pula dibeli dengan cara ansuran.  Pendek kata,  jika sudah ditaman minat di kalangan ibu bapa,  tiap keluarga boleh mempunyainya untuk digunakan sebagai pembantu dalam pembelajaran anak-anak mereka.

Untuk membawa  anak-anak ke alam pendidikan yang ‘total’ atau menyeluruh,  maka sudah semestinya satu perancangan yang lebih praktikal dilaksanakan.   Kita bantu anak-anak kita mengikuti pembelajaran mereka dengan penuh minat dan penghayatan.

Make a Free Website with Yola.