RENCANA:

BANGLO DI SAWAH PADI

Kita biasa melihat bangunan-bangunan dibina dengan batu bata,  atau banglo,  di taman-taman perumahan eksklusif di bandar atau di pinggiran bandar.   Biasanya bangunan-bangunan ini mempunyai rekabentuk yang moden,  dengan berbagai ciri yang tentu sekali menelan banyak wang untuk menyediakannya.

Memang tidak menghairankan jika bangunan-bangunan banglo ini dikelilingi oleh taman tema atau kolam renang atau pun pondok-pondok kecil yang dinamakan ‘gazebo’.  Sekurang-kurangnya terdapat  dalam kawasannya gelanggang-gelanggang permainan badminton,  tennis,  bola tampar,  bola jaring,  atau kadangkala terdapat juga padang golf-mini,  diserikan pula dengan pohon bunga-bungaan berbagai jenis.   Di sebelah petang kelihatanlah penghuni rumah bersiar-siar di kawasannya.

Itulah kemewahan hidup masyarakat yang tinggal di bangunan-bangunan yang dinamakan bunglo.  Dan menjadi kebiasaan juga,  di dalam kawasannya terletak beberapa buah kenderaan yang juga bukan murah harganya.

Itu di Bandar.   Sudah semestiyalah senario ini kita saksikan.   Bangunan banglo biasanya berkait rapat pula dengan kemewahan hidup penghuninya.  Dan sudah tentulah pula ramai pembantu-pembantu yang diambil bekerja.  Dan  sekali sekala,  tidak hairan jugalah suasana gelak ketawa kedengaran berpunca dari majlis-majlis yang diadakan di dalamnya.

Keadaan seperti ini seolah-olah telah mewujudkan satu ‘jurang’ yang membezakan kehidupan di bandar dan juga di desa,  yang menyebabkan wujudnya kata-kata  ‘aku orang bandar’  dan  ‘aku orang desa’ atau  ‘aku orang kampung’.

Nampaknya bukan sahaja dalam bidang ICT terdapat ‘jurang’.

Banglo ini pula dibina di tengah kawasan sawah padi.

Kita bawa pula perhatian kita ke kawasan desa.   Pada satu ketika dahulu,  kawasan desa adalah sinonim dengan rumah-rumah papan dan kayu yang kebanyakannya mempunyai ciri-ciri tradisional,   dikelilingi pohon-pohon buah-buahan.  Dan tiba saja musim pohon-pohon ini mengeluarkan hasilnya,  maka timbullah kata-kata ‘pulang kampung’,  sebenarnya pulang ke kampong untuk menjamu selera dengan buah-buahan.

Tradision ini masih ada hingga kini,  tetapi sudah bertukar corak.  Kalau dulu menghadapi dan menjamu selera dengan  buah-buahan hasil pohon-pohon di sekeliling rumah,  hari ini yang balik ke kampong akan dibawa ke kebun-kebun buah-buahan pula.

Corak dan senario kehidupan sudah mula berubah.   Dulu di kampong kita lihat rumah-rumah papan dan kayu.  Hari ini lain pula pemandangan yang kita hadapi …  terutama sekali di negeriKELANTAN.

Banglo ini di Kampung Jambu, Jajahan Pasir Mas

Memang sukar hendak kita fahami dan percayai,  kecuali kita melihatnya sendiri.

Di Kelantan ini,   banyak bangunan-bangunan banglo ini didirikan.   Ada yang didirikan untuk mengganti rumah-rumah papan yang sudah pun sampai pada penghujung hayatnya.   Ada yang didirikan sebagai satu projek baru.  Dan ada juga didirikan di kawasan-kawasan tertentu dan terpilih untuk dijual kepada yang meminatinya.

Terdapat tiga jenis lokasi di mana bangunan-bangunan banglo ini dibena di kampong.   Satu ialah di tapak rumah lama.  Satu di tapak baru yang dibeli oleh tuan punya.  Dan yang lagi satu di tapak atau kawasan yang khas dimajukan untuk rumah jenis banglo.   Apa pun jumlahnya memang banyak.

Di Kampong Kok Pasir umpamanya,  sebuah kampong dalam Jajahan  Tumpat,   dari jumlah 348 buah rumah yang terdapat di sini 123 buah  rumah batu,  dan 25 buah darinya  ialah rumah banglo.

Dan begitulah keadaannya di kebanyakan kawasan desa di negeri ini.   Jika kita ke kawasan-kawasan sekitar  Pasir Mas,  Pasir Puteh,  Tanah Merah,  Bachok dan  Kota Bharu memang banyak kita lihat rumah-rumah banglo.   Dan yang menakjubkan ialah rumah-rumah banglo ini dibina di tempat-tempat yang tidak kita sangka,  iaitu seperti di kawasan sawah padi,  di ladang buah-buahan,  di tepi pantai  dan  sebagainya.

Inilah yang dapat kita lihat di Kelantan hari ini.   Dengan sendirinya ini membayangkan keadaan hidup masyarakatnya.  Mereka bekerja keras … dalam apa bidang sekali pun … asalkan yang  halal dan diredhai Allah … mengumpul wang.   Dan wang ini digunakan untuk empat perkara utama iaitu  mengerjakan ibadah Haji,  memperkasakan pelajaran anak-anak,  membesarkan perniagaan  dan tentu sekali untuk mengubahsuai atau membina rumah.

Negeri Kelantan … kalau kita bayangkan keadaan 40 tahun yang lalu … hari ini sudah berada pada tahap yang berbeza iaitu lebih berkembang maju  ….  Sudah mengalami satu evolusi dan perubahan hidup yang penuh wawasan dan komitmen.

Inilah negerinya di mana terdapat banglo di sawah padi.     KELANTAN DARUL NAIM … bergerak maju ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan ummah.

Make a Free Website with Yola.