HARI INI DALAM SEJARAH

 13 OKTOBER 1957

PERJANJIAN PERTAHANAN LUAR DAN BANTU MEMBANTU ANTARA UNITED KINGDOM DAN 

PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DITANDATANGANI


Pada hari ini dalam tahun 1957, Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantu-membantu Antara United Kingdom dan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani di Bilik Persidangan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Perjanjian ini ditandatangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan G.W. Tory, Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan British. Perjanjian ini telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu selepas berbahas selama tiga jam pada 3 Oktober 1957. Tujuan utama perjanjian ini ditandatangani adalah bagi memelihara keamanan dan mengukuhkan pertahanan negara serta merapatkan kerjasama antara kedua-dua negara. Menurut perjanjian ini, British akan membantu kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam pertahanan luar; perluasan, latihan, bantuan pentadbiran, kemudahan peralatan dan bantuan teknik serta membantu memperbaiki kelengkapan ketenteraan. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membenarkan tentera British ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu dan diberikan pangkalan tentera di negara ini dengan syarat jumlah anggota tentera dan lokasinya ditentukan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

 HOME >>>>

Make a Free Website with Yola.