HARI INI DALAM SEJARAH

 11 OKTOBER 1945

MALAYAN UNION - KETIBAAN UTUSAN KHAS INGGERIS KE TANAH MELAYU


Pada hari ini dalam tahun 1945, Utusan Khas Inggeris, Sir Harold Mac Michael tiba di Tanah Melayu dalam rangka menepati usaha-usaha terakhir dan penting untuk menjayakan penubuhan Malayan Union. Beliau diutus khas oleh Kerajaan Inggeris untuk mendapatkan perkenan dan tandatangan DYMM Raja-raja Melayu sebagai tanda mempersetujui penubuhan gagasan Inggeris itu. Pengumuman rasmi mengenai penubuhan Malayan Union telah dibuat di Parlimen Inggeris sehari sebelum ketibaan Mac Michael, iaitu pada 10 Oktober 1945. Jarak waktu yang singkat antara pengumuman dan ketibaan Mac Michael, tidak memberi kesempatan langsung kepada DYMM Raja-raja Melayu untuk berfikir dan berunding dengan Orang-Orang Besar dan rakyat jelata.Cara bersulit-sulit dan bersembunyi yang dilakukan oleh Mac Michael, beserta dengan tipu helah ugutan, telah menghasilkan kejayaan kepada beliau. Menjelang bulan Januari 1946, Mac Michael pulang ke London berbekalkan sembilan tandatangan Baginda Raja-raja Melayu. Tandatangan itu dengan sendirinya mengesahkan penubuhan Malayan Union.

Tipu helah Mac Michael itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Manakala DYMM Raja-raja pula turut menyesali tindakan tersebut dan mengutus surat dan telegram kepada Pejabat Tanah Jajahan di London, menyuarakan rasa kesal dan murka kepada Mac Michael.

Inggeris meneruskan hasratnya menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946. Sir Edward Gent dilantik sebagai Gabenor pertama. Dalam perlembagaan Malayan Union Raja Inggeris mempunyai kuasa penuh dan langsung ke atas Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak menjadi negeri naungan Inggeris tetapi merupakan tanah jajahan Inggeris yang mutlak. Pentadbiran Malayan Union mengandungi seorang Gabenor, sebuah Majlis Mesyuarat Kerja dan sebuah Majlis Mesyuarat Undangan.Setiap negeri mempunyai Majlis Mesyuarat Negeri yang mempunyai kuasa mentadbir dan membuat Undang-undang Tambahan. Manakala kedudukan DYMM Raja-raja Melayu hanyalah sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, mengetuai sebuah Majlis Penasihat Melayu di mana ahli-ahlinya dilantik dengan persetujuan Gabenor Inggeris. Mengenai kerakyatan pula, ia adalah bebas kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira latar belakang keturunan.Bagaimanapun, Malayan Union ciptaan Inggeris itu tidak dapat bernafas lama. Rakyat, khususnya orang Melayu telah menentang hebat pembentukannya kerana gagasan itu mengenepikan segala hak mereka di tanahair sendiri. Mereka telah mengambil tindakan memulaukan semua majlis rasmi kerajaan, mengadakan tunjuk perasaan dan berkabung. Tentangan dan kecaman yang padu dari orang-orang Melayu akhirnya berjaya meruntuhkan Malayan Union. la adalah satu kemenangan bagi orang-orang Melayu dalam perjuangan mengembalikan hak kedaulatan dan maruah bangsa.

 HOME >>>>

Make a Free Website with Yola.