Yang Utama Diutamakan


Kita selalu menghadapi keadaan tidak selesa,  terutama sekali apabila kita menghadapi situasi yang memerlukan kita mengambil tindakan.   Tindakan yang kita ambil itu,  kadang kala dipengaruhi oleh emosi yang dihasilkan pula oleh keadaan sekeliling.  Kemungkinannya tindakan seperti ini tidak akan membawa keuntungan,  faedah atau manfaat kepada kita.

Dalam kehidupan seharian kita,  banyak perkara yang berlaku … sama ada yang baik mahu pun yang buruknya.  Apa pun keadaan ini akan mempengaruhi perjalanan hidup kita … dan tindakan kita memainkan peranan yang penting.

Kita lihat keadaan kita hari ini … apakah yang perlu kita lakukan untuk menentukan bahawa masa depan kita lebih ceria,  sejahtera  dan  cemerlang.  Dan apakah  yang perlu kita laksanakan untuk merealisasikan keadaan ini.

Kalau kita fikirkan,  rata-rata pengetahuan kita boleh membantu.   Apakan tidak,  kerana pengetahuanlah yang boleh menjamin bahawa tindakan yang kita ambil itu adalah yang sepatutnya.

Dalam hal ini,   kita harus fikirkan apakah ini semua.   Dan apakah pengetahuan yang harus ada pada kita.  Dan apabila fikiran kita sampai pada tahap ini,  maka akan bertanya pula kita bagaimana hendak kita perolehi pengetahuan itu … atau ilmu pengetahuan itu …  tambahan pula kalau umur kita sudah jauh meninggalkan zaman remaja,  bagaimanakah hendak kita hadapi suasana mempelajari ilmu pengetahuan ini.

Ini rasanya akan membawa kita kepada pandangan dan pendapat bijak pandai,  bahawa perjalanan kita mendapatkan ilmu pengetahuan tidak sepatutnya dihalang oleh umur kita,  kerana dalam agama kita pun ada dikatakan bahawa usaha mencari ilmu pengetahuan itu adalah untuk sepanjang hayat kita.

Jadi yang harus kita cari sekarang,  ialah kaedah yang boleh kita gunakan untuk ini.   Ini membawa kita kepada teknologi terkini yang boleh membantu … iaitu teknologi maklumat dan komunikasi atau lebih dikenali sekarang dengan nama ringkasnya  ‘ICT’.

Banyak yang meragui teknologi ini.   Ada yang mengatakan bahawa teknologi ini lebih banyak membawa keburukan dari kebaikan.   Banyak yang berpendapat bahawa INTERNET yang wujud bersama teknologi ini mengandungi pelbagai perkara … yang baiknya dan juga yang buruknya.

Rasanya,  kita tidak boleh melarikan diri dari hakikat bahawa tiap yang baik itu ada juga buruknya.   Tetapi terpulanglah kepada kita  untuk menapisnya.   Kerana saluran Internet ini adalah satu-satunya saluran yang boleh membantu kita mendapatkan ilmu pengetahuan yang maha penting dalam kehidupan kita hari ini.

Dan di Negeri Kelantan ini,   Gerbang INTERNET THOYYIBAH akan diperkenalkan untuk faedah kita semua  …  untuk membantu kita dalam perjuangan kita mencari ilmu pengetahuan … dan menghalang yang buruk dari menghampiri kita.

Carilah ilmu pengetahuan dalam apa cara juga pun.  Kerana ilmu pengetahuan itu adalah senjata yang amat berkuasa untuk kita memerangi kejahilan.

Make a Free Website with Yola.