RENCANA:

Sifat-sifat Pemangkin Dalam Kehidupan

Keadaan di Negeri Kelantan boleh menjadi pemangkin kepada kita dalam meneruskan perjuangan hidup.   Apa yang berlaku,  dilakukan  dan  dialami oleh anggota masyarakatnya,  dengan sendiri dapat dijadikan sebagai  landasan,  panduan  dan  bimbingan kepada kita yang mempunyai hasrat dan cita untuk sama-sama berjuang bagi mendapatkan kesejahteraan dan kebahgiaan hidup  di masa hadapan.

Kita  dapat mempelajari cara dan kaedah hidup tanpa bergantung kepada sesiapa.   Kita dapat mempelajari bagaimana hendak mengurus diri dengan baik tanpa bantuan.  Kita dapat hidup berdikari ….  bebas dari apa juga pengaruh negative … dan bebas memikir yang mana baik dan yang mana pula yang tidak baik.  Kita dapat mengenalpasti jalan yang harus diikuti dengan berpandukan ciri-ciri kehidupan berasaskan ajaran agama suci kita Islam.   Kita akan berasa aman,  tenang  dan  tenteram.   Kita berasa syukur atas nikmat yang dianugerahkan oleh Illahi kepada kita.

Apa yang saya catitkan di dalam post ini,   adalah berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri.   Empat puluh tahun yang lalu,  saya mula menjejak kaki di bumi Kelantan. Selama empat tahun berada di tanah bertuah ini,  dan selepas itu berpindah lokasi tugas.   Dan sekarang dua tahun sudah berlalu …. untuk kali keduanya saya menjinakkan diri dengan negeri ini.   Banyak yang telah saya saksikan … dan banyak pula yang  telah menjadi panduan dan pelajaran kepada saya sendiri.   Ini tidak boleh saya nafikan.

Selama empat dekad … memang banyak telah berlaku. Memang banyak perubahan yang dialami oleh negeri ini dan juga masyarakat penghuninya ….  dari segi infrastrukturnya,  landskapnya,  sifat kerohanian dan pemikiran serta semangat juang masyarakatnya.    Perubahan yang telah membawa bersamanya kebaikan  dan  seterusnya kesejahteraan hidup.

Negeri Kelantan,  memang terkenal di seluruh dunia sebagai khazanah segala-galanya yang berkaitan dengan kebudayaan,  kesenian  dan  keIslaman.   Ini adalah satu hakikat.   Senario hidup di sini mencerminkan keadaan ini.

Nilai-nilai hidup yang murni terdapat di tiap rantau yang dijejaki.    Tiap pertemuan dan perbincangan boleh dijadikan pemangkin kepada perjalanan hidup yang lebih mantap,  yang dengan sendirinya dapat memperkasakan ilmu kehidupan yang diwarisi.

Satu perkara yang amat dikagumi ialah semangat  …  semangat perjuangan hidup …  semangat memertabatkan sifat-sifat keMelayuan bangsa.   Ini disuburkan lagi dengan kaedah dan cara hidup yang dipenuhi dengan visi,  missi  dan  matlamat hidup yang secara semula jadi terpahat dalam jiwa tiap insan di negeri ini.

Ramai sudah anak Kelantan yang saya temui … banyaklah pelajaran yang saya perolehi.   Pengalaman hidup dan usaha mereka merupakan satu thesis kehidupan yang menjadi  ‘tenaga pengajar dan pembimbing’  kepada saya untuk menjana kekuatan dalam perjalanan saya ke hari muka.

Negeri Kelantan Darul Naim dan masyarakatnya,   adalah satu-satunya entiti hidup di zaman berdaulat,  merdeka  dan  berteknologi tinggi ini,  yang dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan,  kecemerlangan dan kebahgiaan hidup di zaman-zaman yang akan datang.

Make a Free Website with Yola.