SEPINTAS LALU

RASA INSAF

 

KOTA BHARU 25 Sept:    ‘Saya berada di Kota Bharu,  Kelantan selama hampir 3 tahun ... mencari rezeki,  sambil menimba pengalaman’,  kata seorang rakan Sdr Khushrin Zainal, kepada saya.  Sekarang ini dia sudah berada semula di tempat lahirnya di Kelang, Selangor.   Katanya jika dilihat secara kasar,  keadaan negeri ini tidak ada banyak bezanya dengan lain-lain kawasan di negara ini ... pemandangan yang indah. Kehijauan menemui kita kemana juga kita arahkan pandangan kita ... di kawasan di luar bandarnya.


Kawasan bercucuk tanamnya ... dipenuhi dengan tanaman seperti padi,  tembikai,  cili,  jagung,  kacang tanah ... iaitu selain dari tanaman komersil seperti kelapa sawit,  kelapa,  limau madu,  getah dan lain-lain lagi.


Di bandar pula ... kenderaan dan maknusia memenuhi laluannya.  Begitu juga wujudnya bangunan-bangunan serba moden yang telah didirikan.  Hari ini beberapa kawasan di Kota Bharu sedang diusahakan untuk dijadikan bandar-bandar satelit ... iaitu seperti di Pasir Tumbuh dan Wakaf Che Yeh.  Kerja-kerja pembinaan hampir selesai.


Kata Sdr Khushrin,  di kawasan-kawasan luar bandarnya pula kelihatan masyarakat tempatan menjalankan usaha mereka dengan penuh minat,  keazaman dan bersungguh-sungguh.   Masa lapang boleh dikatakan tidak ada untuk mereka.  Mereka lebih suka berdikari dan jika berniaga mempunyai rakan kongsi terdiri dari anggota keluarga sendiri.  Mereka tidak meminjam modal dari bank,  tetapi diperolehi dari sumbangan ahli keluarga.


Pengalaman yang diperolehi oleh Sdr Khushrin  ialah rezeki yang diperolehi dari titik peluh sendiri membawa kita jauh ke ruang kemajuan.  Keinsafan untuk dirinya pula ialah melihat bagaimana masyarakat tempatan sama-sama membangunkan keluarga, masyarakat dan negeri Kelantan ini dengan menggunakan acuan sendiri.  Rasa khuatir,  curiga dan syak wasangka tidak wujud.

 

PANDANGAN SEORANG TEMAN


KOTA BHARU 21 Sept. - ‘Kelantan mempunyai banyak potensi yang boleh dimaju dan diperkasakan’.   Demikian pendapat seorang teman,  seorang ahli perniagaan di ibu negara.


Katanya, ‘Segala-galanya terdapat di negeri Che Siti Wan Kembang ini.  Yang perlu dilaksanakan ialah menentukan potensi dalam pelbagai bidang ini dimanfaatkan dengan sebaiknya dan tersusun,  demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat di masa mendatang’.   Beliau percaya bahawa sistem keutamaan telah pun disediakan.


Seterusnya teman ini menjelaskan bahawa dengan suatu sistem pentadbiran dan pengurusan yang mantap dan kredibel,   banyak boleh dilakukan.   Tambahnya,  ‘Ada  dikatakan bahawa negeri Kelantan merupakan khazanah segala usaha yang mulia dan murni.  Ia merupakan sebagai‘lombong emas’  yang perlu diusahakan dengan baik.’   Katanya lagi bahawa negeri ini boleh diibaratkan sebagai  ‘hub’  segala aktiviti perniagaan terutama sekali dengan hadirnya keazaman,  semangat berdikari dan semangat ingin maju di kalangan masyarakatnya.  Ini katanya ternyata pada pelbagai aktiviti perniagaan dan perushaan yang dilaksanakan,  bukan sahaja oleh ahli-ahli korporat bahkan juga oleh semua lapisan masyarakat negeri.


Teman ini sedang meninjau kemungkinan mewujudkan cabang perniagaannya di negeri Kelantan.

Make a Free Website with Yola.