RENCANA: 

Mereka Memang Berminat

PASIR MAS.    Satu perjumpaan telah diadakan di bilik mesyuarat pejabat Penggawa Daerah Chetok,  Pasir Mas,

Encik Mohd Sulaiman Ag Hassan, Penggawa Daerah Chetok, Pasir Mas

Kelantan pada Khamis 17 Disember 2009.   Perbincangan ini yang dipengerusikan oleh Penggawa Encik Mohd Sulaiman Ag Hassanbermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada hampir jam 2.00 petang.   Hadir di perbincangan ini ialah Penghulu-penghulu dari mukim-mukim dalam daerah Chetok.

Perbincangan ini adalah susulan satu perjumpaan tidak formal yang telah diadakan beberapa hari sebelumnya.

Banyak perkara telah dibincangkan.   Tiap Penghulu Mukim telah memberi penerangan mengenai Mukim masing-masing dengan tumpuan kepada subjek celik ICT atau Teknologi Maklumat dan Komunikasi di kalangan anak buah mereka.   Rata-rata nyata bahawa tahap celik ICT di kalangan anggota masyarakat agak mengecewakan,  khususnya di kalangan warga emas.  Telah dijelaskan bahawa warga emas berfikir ilmu pengetahuan ini tidak lagi relevan kepada mereka,  tumpuan seharusnya diberikan kepada generasi muda,  yang masih banyak ilmu pengetahuan yang perlu ditimba dalam menjalani hidup untuk masa depan.

Perjumpaan telah diberitahu bahawa ilmu pengetahuan ICT di kalangan masyarakat pelajar tidak  membimbangkan,  terutama sekali apabila mereka banyak menggunakan alat computer di sekolah.   Yang merunsingkan ialah golongan remaja … lepasan sekolah … yang gagal meneruskan pelajaran … dan yang menganggur.   Di jelaskan mungkin program dan aktiviti yang berkaitan dapat diterapkan kepada mereka,  supaya kuranglah mereka terlibat di dalam gejala yang tidak sihat.

Antara yang hadir di perbincangan yang diadakan.

Penggawa Daerah Chetok,  Encik Mohd Sulaiman,  menegaskan bahawa program membawa ICT kepada masyarakat desa,  adalah satu program yang memang dinanti-nanti.  Tetapi sebelum penglibatan mereka diperolehi,  beberapa majlis penerangan dan taklimat yang mendalam,  terutama dalam soal penggunaan ilmu pengetahuan ini dalam kehidupan seharian mereka,  perlu diadakan.   Ini katanya dapat merapatkan lagi mereka kepada ICT.   Kalau tidak mereka akan menganggapnya sebagai sesuatu yang akan membawa bebanan kepada kehidupan mereka.

Encik Mohd Sulaiman menyarankan supaya sebuah  BALAI ICTdiwujudkan di tiap kampong atau sekurang-kurangnya di tiap Mukim di bawah kelolaannya.   Balai ICT ini katanya harus diselenggarakan oleh anggota masyarakat setempat,  iaitu melalui penubuhan satu PASUKAN PETUGAS.

Katanya lagi,   ‘Penubuhan BALAI ICT ini dengan sendirinya dapat merapatkan lagi hubungan di antara kampong-kampung di dalam daerahnya,  iaitu melalui lamanweb-lamanweb yang perlu dibina untuk tiap kampong yang menyertai program ini.’

Encik Mohd Sulaiman berkata bahawa idea mewujudkan Balai ICT ini,  adalah datangnya dari anggota masyarakat kampong sendiri.   ‘Jadi kita harus membantu untuk merealisasi aspirasi mereka yang ingin mengguna dan memanfaatkan ilmu pengetahuan ini’.

Beberapa program yang relevan akan dirancang untuk dilaksanakan mereka.   Kata Encik Mohd Sulaiman,  mereka

Mungkin inilah akan dijadikan hub aktiviti ICT Daerah Chetok, Pasir Mas

akan mengadakan perbincangan-perbincangan untuk mengenalpasti jenis program yang hendak dilaksanakan.  Ini tambahnya bagi menentukan bahawa program-program inilah yang diperlukan,   dan program-program inilah yang boleh merapatkan masyarakat desa kepada teknologi ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa masyarakat desa,  khususnya di dalam Daerahnya memang mempunyai minat untuk memulakan program ini dengan sendirinya.   Dengan bangganya beliau menekankan,  ‘Sudah tiba masanya kita sama-sama memikirkan program atau aktiviti yang berguna kepada kita dalam menghadapi kehidupan di zaman mendatang,  kerana kita yang tahu akan kekuatan dan kelemahan kita.’

Selepas berbincang selama hampir  tiga jam,   beberapa perkara telah diputuskan iaitu pertama beberapa perbincangan susulan harus diadakan untuk menentukan detail program yang hendak dilaksanakan,  mengenalpasti lokasi Balai ICT yang hendak diwujudkan,  melantik para anggota Pasukan Petugas ICT,  dan termasuklah bagaimana hendak mendapatkan sumbangan alat-alat computer yang akan digunakan.

Saya kira,  pandangan dan hasil perbincangan yang diadakan jelas menunjukkan bahawa masyarakat desa memang berminat dalam bidang ICT,   akan tetapi mungkin kerana mereka kurang arif selok beloknya,  maka mereka tidak memulakan program ini lebih awal.

Saya percaya kesedaran sudah mula wujud  di kalangan masyarakat desa,  di Kelantan ini khususnya,   bahawa ilmu pengetahuan ICT memang boleh membantu mereka dan generasi akan datang menyediakan diri untuk menjalani hidup di zaman yang lebih canggih dan mencabar.

Make a Free Website with Yola.