RENCANA:

Masyarakat Kelantan Yang Saya Kenali

Kira-kira lima puluh tahun yang lalu,  iaitu pada tahun 1960 … bulan Oktober … saya mula-mula mengenali masyarakat Negeri Kelantan.   Saya tiba dalam hujan yang lebat mencurah.   Saya tiba semasa negeri Cik Siti Wan Kembang ini mengalami musim tengkujuh.    Saya menerima arahan bertugas di sini untuk memulakan operasi  wilayah satu jabatan yang memang mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat.  

Tugas yang diberikan kepada saya adalah agak berat untuk dipikul,  tambahan pula ketika itu khidmat saya baru ‘setahun jagung’ dengan jabatan.   Tetapi saya terima arahan itu dengan penuh semangat dan azam … dan berterima kasih kepada pegawai atasan saya kerana kepercayaan yang diberikan.

Saya memulakan tugas dari satu ruang yang dipinjamkan kepada saya di sebuah jabatan kerajaan  di tengah-tengah bandar Kota Bharu.  Ruang ini hanya cukup untuk menempatkan sebuah meja,  tiga kerusi,  satu rak buku dan fail.   Itulah keadaannya … dan mulalah saya merancang bagaimana hendak melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada saya.

Suasana yang kelam dan suram tidak membantu.   Buat beberapa hari saya termenung memikirkan apakah yang patut dan harus saya lakukan,  tambahan pula tidak seorang pun yang saya kenali.  Saya keseorangan … tidak mempunyai kenalan … jauh sekali seorang teman.   Tetapi dengan pengalaman selama 3 tahun sebelum ini … dan dengan didikan dan bimbingan yang saya terima dari rakan di ibupejabat yang lebih ‘senior’ dari saya dalam bidang tugas ini,   saya dapat berfikir dan membuat perancangan.

Saya berfikir iaitu untuk saya menjalankan tugas yang boleh mendatangkan manfaat dan faedah kepada jabatan dan juga diri saya sendiri,   saya harus mencari jalan untuk mengenali masyarakat setempat.   Tetapi bagaimana.   Saya di Kelantan ketika itu  benar-benar seorang diri.  Terserahlah kepada saya untuk membuat apa yang wajar,  yang relevan  dan yang boleh membantu saya dalam melaksanakan tugas saya.

Berbekal dengan strategi ini,  saya mula mengorak langkah … mencari kawan untuk dijadikan teman sepanjang khidmat saya di negeri ini.   Yang menjadi sasaran pertama saya ialah pegawai yang sebilik dengan saya.   Pegawai inilah yang mula membuka ruang untuk saya  … dia bukan orang tempatan,  tetapi berasal dari Perlis  dan  sudah lama juga bertugas di sini. 

Bermula dengan pegawai ini … dan kemudian saya diperkenalkan dengan lain-lain yang bertugas di jabatan ini … mulalah saya mempunyai ‘rakan dan taulan’ untuk berbual dan bertukar fikiran.

Rata-rata mereka memberitahu saya,  negeri ini memang sesuai untuk menikmati kehidupan yang aman,  tenang  dan  tenteram.   Barang-barang  keperluan pula murah jika dibandingkan dengan keadaan di ibu Negara.  Malah mereka menjelaskan,  bila tiba masanya untuk tamat tempuh tugas saya di sini,  mungkin sukar bagi saya hendak meninggalkannya.

Dari perbincangan-perbincangan yang telah diadakan,  baik dalam aspek tugasan,  mahupun dalam aspek kemasyarakatan,   banyak juga telah saya pelajari megenai masyarakat di Kelantan ini. 

Dan mulalah saya bergerak.  Mulalah saya berkenalan dengan mereka yang mempunyai kaitan dan hubungan dengan tugas saya.   Sedikit demi sedikit saya mempelajari ehwal masyarakat di sini.   Mulalah saya mempelajari dan memahami loghat yang digunakan … makanan yang dihidangkan … tempat-tempat yang perlu saya kunjungi …  budaya kehidupan masyarakatnya … pantang larang yang harus saya ketahui dan sebagainya.

 Dan apabila bangunan pejabat yang sebenar untuk operasi saya siap dibina,  dan berpindahlah saya meninggalkan pejabat sementara saya di tengah-tengah bandar,   sudah ramailah kenalan dan ada juga di antara mereka yang menjadi teman karib kepada saya hingga ke hari ini.   Sememangnyalah,  oleh kerana lima puluh telah berlalu,   ada di antara rakan-rakan saya itu sudah tiada lagi.

Empat tahun lebih saya menjalankan tugas di sini.   Memang benarlah kata teman-teman di pejabat sementara saya dulu … setelah berada dan bermesra dengan masyarakat di Kelantan ini  buat begitu lama,  memang sukar rasanya hendak berpindah dan meninggalkan mereka.

Apa pun,  yang menarik kepada saya mengenai masyarakat di Negeri Kelantan ini ialah sikap mereka terhadap kehidupan.  Boleh dikatakan mereka adalah anggota masyarakat yang ‘simple’,  yang mudah bermesra dan mudah menjadi teman.   Tetapi mereka adalah terdiri dari golongan insan yang kuat bekerja mencari rezeki.   Mereka memang mempunyai minat yang tinggi dalam perniagaan.   Keazaman,  keberanian  dan  ketabahan mereka patut dijadikan contoh teladan.   Keikhlasan dan kejujuran mereka adalah perkara-perkara yang sukar di dapati di lain tempat yang biasa saya diami.

Hari ini,  selepas hampir lima puluh tahun,  saya menjenguk semula ke negeri ini,  saya dapati keikhlasan dan kejujuran anggota masyarakatnya sudah menjadi satu lumrah hidup yang sukar ditandingi.

Banyak yang boleh kita pelajari di sini.   Keamanan dan ketenangan hidupnya,  dipagari pula oleh ajaran agama suci kita Islam,  maka di sinilah tempatnya … di sinilah  ‘hub’ segala yang suci dan murni.

Make a Free Website with Yola.