NEGERI KELANTAN DARUL NAIM

Ehwal Negeri Kelantan Darul Naim yang dipapar di bawah ini di perolehi dari Wikipedia ensiklopedia bebas bahasa Melayu.  Maklumat yang terkandung di dalamnya mungkin boleh dijadikan sebagai permulaan kepada usaha kita membuat kajian dan mendapatkan bahan, fakta dan maklumat yang lebih lengkap mengenai negeri ini.


PENGENALAN

Kelantan Darul Naim (Jawi: كلنتن دار النعيم, Loghat Kelantan: Klatè) atau nama pendeknya Kelantan merupakan sebuah negeri daripada 14 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km², terletak di timur laut Semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan, dan bersempadan dengan Thailand . Kelantan ialah sebuah negeri agraria (pertanian) yang mempunyai banyak kawasan tanaman padi dan perkampungan nelayan.

Berdasarkan pada Bancian Tahun 2000, Kelantan mempunyai seramai 1,313,014 orang penduduk. Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dengan 95%, diikuti dengan kaum Cina 3.8%, kaum India 0.3% dan lain-lain kaum 0.9%. Berdasarkan bancian tersebut, 95% beragama Islam, diikuti dengan agama Buddha 4.4%, Kristian 0.2%, Hindu 0.2% dan lain-lain agama 0.2%.

IKLIM

Negeri Kelantan mengalami iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu. Biasanya, hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau selama beberapa bulan. Bulan-bulan yang mengalami hujan yang paling kerap ialah bulan November, Disember dan Januari, iaitu pada musim tengkujuh. Suhu setiap hari dianggarkan lebih kurang 21°C.

SEJARAH

Nama "Kelantan" dikatakan pencemaran daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan serambi mekah pada masa dahulu.

Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi mempertunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Kelantan awal mempunyai perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Kira-kira 1411, Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam. Kelantan kemudian menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pad akhir abad ke-15.

Pada 1499, Kelantan menjadi negeri vasal Kesultanan Melaka. Dengan kejatuhan Melaka pada 1511, Kelantan dibahagikan dan diperintah oleh ketua-ketua kecil. Dengan ancaman oleh Siam pada 1603, kebanyakan ketua kecil Kelantan bernaung di bawah Persekutuan Pattani Besar. Kerajaan pusat di Pattani membahagikan Kelantan kepada 4 wilayah iaitu Kelantan Timur, Kelantan Barat, Legeh dan Ulu Kelantan. Kira-kira 1760, seorang putera raja Kelantan Barat berjaya dalam penyatuan wilayah Kelantan sekarang. Tidak lama kemudian, pada 1764, Long Yunus iaitu putera raja Kelantan Timur, anak Long Sulaiman berjaya merampas takhta kerajaan dan mengisytiharkan diri sebagai Raja Kelantan. Walaubagaimanapun, dengan kemangkatannya, Kelantan dipengaruhi oleh Terengganu.

Pada 1800, Raja Muhammad mengisytiharkan diri sebagai sultan pertama Kelantan. Pada 1812, baginda melepaskan diri daripada pengaruh Terengganu dan menjadi negara ufti Siam yang berasingan. Pada 1820-an, Kelantan merupakan salah satu daripada negeri yang terbanyak penduduk serta termakmur di Semenanjung Tanah Melayu kerana berjaya mengelakkan perang dan pertikaian yang menimpa negeri-negeri di selatan dan barat. Siam terus memainkan peranan yang mustahak di Kelantan pada seluruh abad ke-19.

Di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.

Kelantan merupakan tempat pertama di Malaya yang ditakluk oleh Jepun yang menyerangnya pada 8 Disember 1941. Semasa pendudukan Jepun, Kelantan sekali lagi dikawal oleh Siam, tetapi selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, Kelantan kembali kepada pemerintahan British.

Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan bersama-sama dengan negeri lain, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

BUDAYA

Kelantan merupakan negeri yang berjiran dengan wilayah-wilayah selatan Thailand yang dikenali dahulu sebagai Negeri Patani Darul Salam. Dari segi sejarahnya, Kelantan mempunyai hubungan sejarah yang sangat akrab dengan Kesultanan Melayu Patani yang didokongi oleh Kesultanan Melayu Islam. Di mana Kesultanan Melayu Kelantan mempunyai pertalian darah dengan Kesultanan Melayu Patani dan juga Kesultanan Melayu Negeri Champa. Setelah Kesultanan Melayu Patani dikhianati oleh Siam dan British maka ia telah demonisasi oleh Thailand. Negeri Patani telah dipecahkan kepada wilayah-wilayah kecil yang terdiri dari Yala(Jala), Narathiwat(Menara), Patani dan Songkla(Senggora).

Di bawah perjanjian British-siam pada tahun 1948 demografi pemerintahan selatan Siam telah dipisahkan. Kelantan di bawah Malaysia manakala negeri-negeri Patani di bawah Thailand.

Oleh yang demikian Kelantan mempunyai budaya yang unik yang sangat berkait rapat dengan budaya Negeri Patani. Asimilasi antara budaya Melayu, Siam dan Islam menghasilkan permainan rakyat seperti Dikir Barat, Main Puteri, Mak Yong dan seumpamanya. Mak Yong dipengaruhi oleh budaya Siam (Thailand), sementara Dikir Barat pula mempunyai unsur-unsur Islam. Main Puteri pula dikatakan diresapi oleh budaya Hindu.

Kelantan juga kaya dengan makanan tradisional dan berlainan dengan makanan Melayu di negeri lain. Di antara makanan tradisional Kelantan yang berkhasiat dikenali sebagai budu.


KUALA KRAI BANDAR BERSEJARAH ...

 

Tanpa diketahui oleh ramai,  rupa-rupanya banyak peristiwa telah berlaku di bandar Kuala Krai dan kawasan-kawasan sekitarnya sejak berzaman lagi.


Dalam zaman sebelum ketibaan kuasa British ke kawasan ini,  iaitu pada awal kurun ke 20, memang banyak yang telah berlaku.  Kisah-kisah pemerintahan Pan-Pan,  Srivijaya,  Paduka Che Siti dan seterusnya,  menandakan keistimewaan dan kekayaan bandar Kuala Krai dari segi sejarah.


Pihak British pada awal kurun ke 20 datang untuk membuka ladang dan lombong emas.  Kemudian membina laluan keretapi dari Kuala Krai menghubunginya dengan pantai barat semenanjung.  Sebelum ini pengangkutan telah dilaksanakan melalui syarikat Duff Development River Steamers yang menyediakan perkhidmatan bot dari Kota Bharu ke pendalaman negeri Kelantan,  yang termasuk Kuala Krai.  Pada awal kurun ke 20 juga  pada tahun 1927 Tangga Bradley telah dibina dan ia juga menjadi tempat mendarat penduduk kampung-kampung di tebing Sungai Kelantan yang singgah di Kuala Krai.


Pendek kata,  memang banyak peristiwa bersejarah yang berlaku di bandar comel ini Kuala Krai. Nama-nama tempat seperti Gunung Cinta Wangsa,  Kota Urdurja, Seberang Keluat selalu disebut-sebut di kalangan pencinta sejarah.


Kita akan paparkan melalui halaman ini,  satu demi satu peristiwa-peristiwa ini ... yang dengan sendirinya akan menjadikan bandar ini dikenali sebagai KUALA KRAI BANDAR SEJARAH Negeri Kelantan.


Make a Free Website with Yola.