RENCANA:

Kegunaan ICT Dalam Kehidupan - Bahagian 2

MENGENALI ICT

Buat beberapa hari ini,  hujan tidak lagi turun mencurah di bumi Kelantan ini,  walaupun ada tanda-tanda yang mengatakan ianya akan berlaku lagi dalam masa dua tiga hari ini.   Apapun  syukur Alhamdulillah.    Dapatlah kita meneruskan agenda kehidupan seharian dengan tidak berasa takut kena basah air hujan,  atau pun tersekat di tengah jalan kerana air bajir menaiki jalanraya,  atau rumah kita akan dinaiki air.

Dalam kesempatan hujan reda sebentar ini,  sempat juga kita meronda bandar Kota Bharu – Bandar Raya Islam ini.   Manusia  ramai juga seperti biasa,  masing-masing dengan urusan sendiri.   Ada yang ke pasar Siti Khadijah.   Ada yang ke pusat-pusat membeli belah yang sudah banyak terdapat di bandar ini,  dan ada juga yang ke pasar-pasar malam yang mulai jam 6.00 petang sudah  beroperasi … terutama di Wakaf Che Yeh.

Dalam kesibukan ini,  tidak dapat saya elak dari membawa perhatian saya kepada beberapa buah kedai yang menjual alat-alat ICT atau lebih tepat komputer.   Ramai juga pelanggan yang singgah di kedai-kedai ini.   Saya singgah di sebuah kedai,  yang agak besar juga di tengah bandar.   Kedai ini serba lengkap dengan keperluan ICT.   Dan yang singgah,  bukan hanya untuk saja melihat atau meninjau barangan yang dipamer untuk jualan,  tetapi untuk bertanya dan terus membeli.   Dalam masa setengah jam saya berada di kedai ini,  saya kira 3 unit alat komputer  -  dua komputer riba (laptop)  dan satu komputer desktop diuruskan jualan.   Dan urusan jual beli dengan tunai.

Dan di beberapa bahagian bandar ini,  terdapat banyak lagi kedai-kedai yang menjual peralatan komputer.   Semuanya sibuk melayan pelanggan masing-masing.  Pendek kata,  tidak salah kalau saya katakan bahawa masyarakat di Bandaraya Islam ini memang sudah melibatkan diri dalam dunia ICT,  dan saya percaya sudah mula menyedari apakah yang boleh  mereka dapati dari ICT dan aplikasinya.   Wujudnya tempat-tempat ‘hotspot’ di Bandar ini,  lagi satu bukti rapatnya ICT dengan kehidupan masyarakat.   Begitu juga adanya kafe siber di beberapa tempat,  ini lagi satu gambaran positif mengenai keadaan celik ICT masyarakat Kelantan.

Keadaan dan senario ini sudah pun mula menular ke kawasan-kawasan desa di negeri ini.  Beberapa hari sebelum Hari Raya Qurban baru-baru ini,  saya telah singgah di sebuah kampong di daerah Tumpat.   Saya telah berjumpa dengan seorang remaja,  yang sudah pun berumah tangga.   Saya dijemput ke rumahnya.   Dan saya terperanjat gembira bila melihat di bahagian anjung rumah teresnya terletak sebuah alat komputer … bukan sebagai hiasan,  tetapi yang berfungsi.   Remaja ini dengan bangganya memberitahu saya akan lamanweb yang telah didirikan untuk kampungnya,  dan alamat-alamat emel yang digunakannya untuk berhubung dengan teman-teman seperjuangannya.

Saya kagum dengan inisiatif remaja ini.   Katanya,  ramai di kampungnya sudah pun mempunyai alat-alat komputer di rumah,   dan semuanya digunakan untuk urusan harian dan juga untuk menimba ilmu oleh anak-anak mereka yang masih dibangku sekolah.   Kepada saya,  ini adalah satu petanda baik yang menunjukkan bahawa masyarakat kita di desa sudah mula mengalami apa yang dipanggil oleh bijak pandai sebagai  ‘perubahan paradigme’  atau  ‘paradigm shift’,   iaitu satu perubahan kearah perjuangan untuk mewujudkan satu masyarakat yang berilmu.

Saya percaya semangat dan sikap seperti ini,  memang sudah banyak terdapat di kawasan-kawasan desa di Negeri Kelantan.   Maknanya,  anggota masyarakat tidak perlu menunggu arahan atau pujukan dari sesiapa juga untuk melaksanakan program-program menimba ilmu melalui ICT ini.   Mereka ingin merancang dan melaksanakan program seperti ini dengan sendiri.  Mereka mahu cetusan idea itu datang dari mereka.   Kerana mereka tahu dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai anggota masyarakat sebuah Negara yang merdeka.

Itu baru satu kampong yang sempat saya kunjungi.   Saya yakin dan percaya banyak lagi kampong-kampung sepertinya di negeri Kelantan ini.

Dan apa yang perlu difikirkan sekarang,  bagaimana hendak kita stabilkan hasrat dan keinginan ini demi kebaikan dan kesejahteraan masyarakat di desa.   

Saya rasa,  langkah sebaik-baiknya ialah untuk meninjau dan mengetahui apakah keperluan anggota masyarakat desa ini … terutama dalam bidang ilmu pengetahuan.  Kerana insan yang berilmu adalah yang diidamkan oleh kita.   Maksudnya,  yang mereka perlukan ialah kandungan atau content yang boleh mereka capai melalui Internet.   Dan untuk melaksanakan usaha ini,  mereka perlu di bimbing dalam beberapa perkara yang berkaitan … terutama dalam bahasa yang digunakan di dalam lamanweb-lamanweb di Internet.

Suasana keinginan untuk perubahan dan memperbaiki hidup,  sudah mula menyerlah.   Yang amat diperlukan,  ialah ilmu pengetahuan yang hendak disebarkan kepada masyarakat.

Make a Free Website with Yola.