MAKLUMAN

Bahan-bahan yang sesuai dan relevan sedang dikumpul,  diteliti dan dikemaskini untuk dimuatkan di dalam halaman ini.   Sekiranya saudara ingin memberi sumbangan silalah emelkan sumbangan itu kepada kami melalui emel kepada alamat:   keltoday@gmail.com.   Terima kasih.

 

 JENDELA BAITULLAH 

Diwujudkan dengan bantuan dan kerjasama

LEMBAGA TABUNG HAJI NEGERI KELANTAN


 FIRMAN ALLAH SWT

al-imran - 97

Maksudnya:

‘Dan Alah s.w.t mewajibkan manusia mengerjakan Ibadah Haji dengan  mengunjungi Baitullah,  iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya,  dan sesiapa yang kufur  (ingkarkan kewajipan Ibadah Haji itu)  maka sesungguhnya Allah s.w.t mahakaya  (tidak berhajat kepada sesuatupun)  dari sekelian makhluknya.’

SABDA RASULULLAH saw    

Maksudnya:

'Islam didirikan di atas lima perkara:   bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah s.w.t  dan sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu adalah utusan Allah Ta'ala,  mendirikan sembahyang,  mengeluarkan zakat,  menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan'

Riwayat Bukhari dan Muslim

HIKMAH

Memperingati hikmah di sebalik kewajipan tunai ibadat haji

Oleh: ASMADI ABDUL RAHMAN

IBADAH haji merupakan salah satu rukun dalam Rukun Islam. Allah s.w.t. telah mensyariatkan haji kepada umat Islam pada tahun ke-9 hijrah. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan haji sekali seumur hidupnya. Di dalam al-Quran, Allah menyebut tentang manfaat dan kebaikan ibadah haji kepada umat Islam.

Berikut adalah kelebihan dan manfaat fardu haji kepada umat Islam.

Allah telah menjadikan ibadah haji sebagai salah satu cara untuk menghimpun umat Islam. Allah s.w.t. menjadikan solat berjemaah sebagai cara untuk umat Islam bertemu lima kali setiap hari dalam satu kawasan yang kecil. Manakala solat Jumaat pula bertujuan mengumpulkan umat Islam dalam satu kawasan yang besar seminggu sekali. Seterusnya Allah s.w.t. menjadikan ibadah haji sebagai pertemuan agung umat Islam setahun sekali yang berlaku di Mekah.

Mengeratkan hubungan sesama umat Islam seluruh dunia. Walaupun berada beribu-ribu kilometer dari kota Mekah, umat Islam sanggup datang semata-mata untuk berkumpul dan melakukan ibadah haji. Apabila selesai, mereka akan pulang ke negara masing-masing dengan membawa syiar keagungan Islam.

Ibadah haji juga melambangkan musawah (kesamaan) sesama Muslim di sisi Allah s.w.t. Ketika menunaikan kewajipan haji, kita diwajibkan memakai pakaian yang sama iaitu berihram. Ketika itu, kita tidak dapat membezakan antara yang kaya dan miskin. Selain itu, kita juga melakukan perbuatan yang sama ketika menunaikan ibadah haji. Semua umat Islam perlu bertawaf, bersaie dan sebagainya tanpa ada pengecualian.

Ibadah haji bertujuan mengingatkan kepada umat Islam tentang peristiwa yang berlaku kepada para nabi terdahulu. Kaabah mengingatkan umat Islam kepada nabi yang telah membinanya iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ketika mengucup Hajar Aswad terbayang Rasulullah s.a.w. yang mula-mula mengucupnya. Saie di Safa dan Marwah mengingatkan umat Islam kepada peristiwa Hajar berlari-lari mencari air untuk anaknya Nabi Ismail dan banyak lagi peristiwa lain yang boleh diingati menerusi ibadah haji.

Ibadah haji memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan ekonomi penduduk tempatan yang miskin. Ketika musim haji, penduduk Mekah akan berniaga dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi mereka. Perkara ini telah diminta oleh Nabi Ibrahim dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. (Surah Ibrahim: 37 )

Ibadah haji merupakan tarbiah atau latihan kepada umat islam supaya bersabar terhadap perkara yang tidak disukainya. Ketika menunaikan ibadah haji, kita diminta supaya tidak meninggi diri, memaafkan orang lain apabila berlaku kekasaran yang tidak disedari dan melaksanakan perhubungan baik dengan orang lain.

Ini secara tidak langsung melatih kita supaya memiliki akhlak yang baik. Selain itu kita juga perlu melatih diri supaya tidak membazir ketika berbelanja di musim haji, di samping memperbanyakkan sedekah. Ibadah haji juga melatih diri umat Islam supaya sentiasa berprasangka baik terhadap individu lain dan berdoa semoga sentiasa dipelihara oleh Allah s.w.t.

Allah s.w.t. tidak menjadikan ibadah haji ini hanya sekadar ibadah yang perlu dilaksanakan. Tetapi merupakan tanda kebesaran Islam yang mengandungi pelbagai hikmah yang perlu kita kaji dan terokai. Semoga dengan kedatangan musim haji pada tahun ini, akan memantapkan lagi perpaduan umat Islam. Seterusnya membangkitkan kembali kegemilangan tamadun Islam seperti umat terdahulu.

- ASMADI ABDUL RAHMAN ialah pensyarah Kolej Shahputra.    -   UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Rahsia dan hikmah tersirat di sebalik ibadat haji

Oleh Ibrahim Abdullah

Rukun Islam kelima simbolik kesatuan umat sejagat tingkatkan ketakwaan kepada Allah 

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji nescaya mereka akan datang kepada (Rumah binaanmu) dengan berjalan kaki, dan berkenderaan jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (corak rantau) yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah bagi mereka serta menyebut nama Allah pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan haiwan ternak untuk dijadikan korban.

Dengan demikian makanlah kamu dari (daging) korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, dan yang fakir miskin.” Surah al-Hajj, ayat 27-29.

Ibadah haji mempunyai hikmah dan rahsia tertentu bagi memenuhi dua tuntutan iaitu dari segi rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Ia juga banyak mengandungi hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ibadah berkenaan. 

Ibadah haji tidak diwajibkan hanya berzikir kepada Allah SWT, menziarahi tempat suci dan menjejaki kesan para nabi, tetapi tujuannya lebih besar iaitu menyatukan umat yang berpecah-belah, berunding dan berbincang, supaya masing-masing kembali ke tanah air membawa azam yang mulia agar menjadi umat yang baik dan bersepadu. 

Allah memilih tempat berkat yang pernah menerima rahmat sejak nabi Adam dan Ibrahim AS serta anak cucu mereka yang juga penutup segala nabi untuk mengajar manusia betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan di antara mereka. Jalan yang dilalui oleh mereka itu hanya satu jalan saja iaitu jalan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin. 

Ibadah haji yang dilaksanakan dengan pakaian ihram tidak berjahit, tawaf mengelilingi Baitullah, saie di antara Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, menyembelih haiwan dan dam semuanya mengandungi erti simbolik dan menjadi tujuan utama daripada penunaian ibadah haji. 
Ihram yang menjadi nasak ibadah haji pertama dilakukan, membawa erti pembebasan diri daripada keinginan hawa nafsu dan daya tarikan daripada pengaruh luar selain Allah. 

Ihram melambangkan penumpuan sepenuhnya kepada kebesaran dan keindahan zat dan sifat Allah. Membebaskan ikatan kedudukan dan pangkat, darah, keturunan, harta, miskin, kaya yang sering memisahkan seseorang daripada saudara seagama dan kemanusiaan. 

Tawaf di Baitullah al-Haram diperlukan mengelilingi sebanyak tujuh keliling walaupun bersesak keadaannya dalam mencari ketaatan kepada Allah. Saie antara Safa dan Marwah dilakukan selepas tawaf, membayangkan erti mengejar rahmat dan pengampunan Allah. 

Wukuf di Arafah pula, mengertikan pengorbanan perasaan takutkan Allah. Dengan doa restu yang dimohon dan harapan tinggi dipanjatkan kepada Allah. Di sinilah kemuncak ibadah haji, tempat pertemuan Adam dan Hawa selepas lama mereka berpisah sejak diturunkan dari syurga. 

Melontar Jamrah adalah simbol kutukan kepada unsur kejahatan yang sering membinasakan manusia. Melontar juga membayangkan keazaman dan tekad untuk tidak lagi melakukan amalan yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan masyarakat. 

Penyembelihan haiwan untuk membayar dam mengertikan kesucian kerana darah yang ditumpahkan itu seolah-olah darah kotor, dan membayangkan pengorbanan kerana menuntut keredaan Allah. 

HIKMAH IBADAH HAJI Klik Di sini

Oleh:  Sheikh Abdul Aziz bin Abdulah Baz

HAJI  Klik Di sini

Dari Wikipedia Bahasa Melayu ensiklopedia bebas

Antara implikasi yang sangat berfaedah diperoleh daripada pelaksanaan ibadah haji, menurut Dr Yusuf Qaradawi ialah: 

·  Mengisi bekalan kerohanian bagi hati dan jiwa manusia dengan iman dan takwa. Dengan keazaman dan semangat meningkatkan ketaatan kepada Allah, kecintaan kepada rasul-Nya, kesedaran tanggungjawab terhadap sesama Islam pada keseluruhannya. 

Tanah suci dan tempat yang dilawatinya meninggalkan kesan mendalam pada hati seseorang Muslim, dan bila pulang ke tanah air dengan hati yang bersih, berakhlak mulia dan semangat menentang segala bentuk kemungkaran. Jika haji dikerjakan itu mabrur dan ikhlas, kesannya lebih positif berfungsi melahirkan manusia berwawasan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan kekotoran dosa dan kefasikan, nescaya bersih daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan ibunya.” 

·  Ibadah haji berfungsi meluaskan ufuk pemikiran seorang Muslim, menghubungkan dirinya dengan alam sekitar, dengan mening-galkan keluarga, tanah air, berkorban harta benda dan jiwa, bertujuan melatih manusia supaya bersedia menanggung kepayahan. 

·  Dari aspek kebendaan, ibadah haji membuka peluang mengadakan pertukaran barang perniagaan di kalangan umat Islam. Firman Allah bermaksud: “Tiada apa-apa kesalahan bagi kamu untuk mencari kelebihan rezeki daripada Tuhan kamu.” Surah al-Baqarah, ayat 198 
Perlu diingat urusan perniagaan tidak menjejaskan ibadah haji seseorang. 

·  Menyemarakkan semangat perpaduan, melatih insan menghidupkan prinsip kemanusiaan yang tinggi dan mulia yang dibawa Islam. Perpaduan dan dasar kesatuan ummah sejagat. Pada masa jahiliah orang Arab mengambil kesempatan pada musim haji untuk menunjukkan kemegahan masing-masing, dengan keturunan dan pangkat. Lalu Rasulullah SAW menyampaikan ucapan yang sangat penting untuk mengajar mereka ajaran Islam yang bersifat antarabangsa. 

Antara kandungan ucapan Baginda ialah: “Wahai manusia, Tuhan kamu satu, bapa kamu juga satu, ingatlah tiada keistimewaan orang Arab atas orang bukan Arab, tiada keistimewaan kulit putih atas kulit hitam, tiada keistimewaan kulit hitam atas kulit putih, kecuali kerana takwa.” 

·  Mewujudkan rantau aman dan sejahtera dalam tempoh ibadah haji. Tetamu Allah di Tanah Suci mengadakan perjalanan yang aman menuju bumi dijamin Allah, bumi yang dibangun padanya Baitul Haram (Rumah yang dikawal).

Kawasan aman dikenali sebagai Tanah Suci, bukan hanya menjamin kepada manusia, tetapi meliputi burung di udara dan di daratan, pokok dan rumput rampai semuanya wajib diberi perlindungan, tidak boleh dibunuh haiwan dan dipotong pokok. Inilah keamanan yang tidak pernah dirasai mana-mana kawasan dunia lainnya yang dianugerahkan Allah Taala. 

·  Muktamar dan perhimpunan agung sedunia ada dalam ibadah haji. Mereka menghadiri muktamar ini tidak diundang mana-mana pihak selain Allah. Allah mewajibkan hamba-Nya menunaikan ibadah ini setiap tahun. 

Dalam muktamar tahunan ini, semua golongan masyarakat hadir menemui saudaranya seluruh dunia, pemimpin, tokoh politik, ulama dan sebagainya berbincang mencari persefahaman untuk mewujudkan suatu jalan yang lebih baik bagi mencapai cita dan wawasan umat Islam sejagat. 

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya betapa pentingnya muktamar ini, yang mana Baginda menaiki mimbar dan berucap yang menyentuh kepentingan seluruh umat Islam pada musim haji wadak, iaitu hubungan antarabangsa dibincang bersama dalam kesempatan berkenaan.   -  BERITA HARIAN ONLINE

Make a Free Website with Yola.