DI MANA SILAPNYA

MENIMBA ILMU DAN MEMPRAKTIKKANNYA

 

Banyak telah diperkatakan,  terutama di kalangan anggota generasi tua,  bahawa oleh kerana terlalu banyak universiti diwujudkan di negara hari ini,  mutu atau kualiti graduan yang dihasilkan terjejas dan sudah agak merosot iaitu jika dibandingkan dengan keadaan semasa negara hanya mempunyai beberapa buah universiti sahaja.   Di era 50an hingga 70an dahulu,  para lepasan universiti sudah boleh melaksanakan tugas sebaik sahaja menerima ‘scroll’  yang diidamkan,  sudah boleh menerima tugas-tugas dan tanggungjawab dan sudah boleh membuat keputusan.  Ketika itu para graduan tidak perlu mengikuti latihan atau penyesuaian untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka ... walau di desa sekali pun.


Masih tersemat di dalam ingatan generasi tua,  yang pernah mengikuti pengajian tinggi di menara gading,  bahawa suasana pembelajaran pun agak berbeza.  Pensyarah memberi syarahan,  para pelajar mengikuti dengan penuh tekun.  Tidak terdapat perhatian mereka tertarik oleh perkara-perkara seperti telefon bimbit  (ketika itu telefon bimbit belum wujud),  atau berborak di dalam bilik kuliah,  atau tertidur semasa mengikuti syarahan atau tutorial.  Pendek kata,  perhatian para pelajar tertumpu sepenuhnya kepada apa yang disampaikan oleh pensyarah.  Selesai sessi syarahan ini,  maka berkejaranlah mereka menuju keperpustakaan ... untuk mendapatkan buku-buku rujukan yang dikenalpasti oleh pensyarah tadi.


Balik sahaja ke bilik tempat tinggal (hostel),  mereka tidak membuang masa ... terus membuat catitan nota dari syarahan yang telah diikuti.  Begitulah seterusnya.


Walaupun demikian,  setelah penat memeras otak,  mereka menyertai juga aktiviti-aktiviti riadah.  Terdapat keseimbangan dalam kehidupan mereka di kampus.  Pendampingan mereka dengan masyarakat sekeliling tidak pula diabaikan,  walaupun kebanyakan aktiviti kemasyarakatan adalah hasil daya usaha mereka sendiri.


Keadaan ini mungkin disebabkan bahawa perjalanan ke menara gading ketika itu tidaklah semudahnya.  Hanya yang terbaik sahaja mendapat tempat.  Hanya mereka yang sanggup bekerja kuat mendapat ganjaran yang dimatlamatkan. 


Hari ini,  keadaan dan suasana seperti ini kurang didapati.  Daya saing dan semangat juang di dalam usaha menimba ilmu,  dalam ertikata sebenarnya, kurang menyerlah. 


Rasanya,  ada baiknya jika para pelajar IPTA/IPTS hari ini dijemput untuk meneliti keadaan dan suasana pengajian di universiti di masa lampau.  Lihatlah bagaimana tekunnya masyarakat pelajar ketika itu menjalani pengajian mereka.  Lihatlah semangat juang dan daya saing mereka.  Lihatlah bagaimana mereka menjalani tugas yang telah diamanahkan kepada mereka terutama oleh anggota keluarga  dan masyarakat sekeliling mereka.


Matlamat mereka sama seperti matlamat tiap pelajar hari ini,  iaitu untuk pulang dengan membawa ijazah yang diimpikan.  Tetapi,  selain dari itu dari awal lagi mereka telah mula berfikir peranan mereka kepada masyarakat,  bangsa dan negara,  yang sangat memerlukan kebijaksanaan mereka.  Kerana ilmu yang ditimba haruslah dipraktikkan sebaiknya demi membawa kesejahteraan dan kebahgiaan kepada umum.

Make a Free Website with Yola.