HARI INI DALAM SEJARAH

7 OGOS 1967

PERLETAKAN BATU ASAS UNIVERSITI SAINS MALAYSIA


Pada hari ini dalam tahun 1967, perletakan batu asas Universiti Sains Malaysia telah dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Upacara perletakan batu asas ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun kesepuluh kemerdekaan negara. Semasa upacara tersebut, Tunku Abdul Rahman telah menggunakan penyeduk simen yang diperbuat daripada emas untuk meletakkan batu asas itu. Penyeduk tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada Tunku.  Dalam ucapannya, Tunku menyatakan harapan beliau supaya Universiti Sains Malaysia dapat mengadakan kuliah menggunakan bahasa kebangsaan. Langkah untuk menubuhkan sebuah Universiti di Pulau Pinang diambil berikutan Laporan Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi yang diterbitkan dalam tahun 1967. Cadangan asal ialah untuk menubuhkan Kolej Universiti di Pulau Pinang. Walaubagaimanapun, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Universiti Kedua di Malaysia dalam tahun 1969 yang diberi nama Universiti Pulau Pinang. Universiti ini kemudiannya dikenali sebagai Universiti Sains Malaysia.

Make a Free Website with Yola.