31 OKTOBER 1962
PENYATA JAWATANKUASA AMINUDDIN DITERBITKAN
Pada hari ini dalam tahun 1962, “Penyata Kelemahan Pelajaran Melayu Aminuddin Baki” telah diterbitkan. Penyata ini membentangkan syor-syor untuk mengatasi masalah kelemahan pelajaran di kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan khususnya murid-murid Melayu. Perkembangan negatif ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan apabila bilangan murid-murid yang berkebolehan menyambung pengajian ke sekolah menengah sangat berkurangan. Berikutan itu pada 20 Febuari 1961, Menteri Pelajaran Encik Abdul Rahman bin Talib, telah membentuk sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada sembilan orang anggota dan diketuai oleh Encik Aminuddin Baki. Tugas utama jawatankuasa tersebut ialah untuk menyiasat dan mengenalpasti sebab-sebab kekurangan bilangan tersebut dan kelemahan keputusan peperiksaan murid-murid Melayu dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran serta cara mengatasinya. Hasil daripada penyiasatan tersebut, 12 syor telah dikemukakan kepada kerajaan dan berpendapat kemunduran murid-murid Melayu adalah disebabkan sistem pelajaran yang sedang digunakan ketika itu mewarisi dasar pelajaran penjajah Inggeris. Sukatan dan pentabirannya juga tidak lagi sesuai dengan perubahan-perubahan kaedah pengajaran, pembelajaran dan kemajuan yang telah dicapai dalam dunia pendidikan selepas negara merdeka.
HOME >>>>