30 OKTOBER 1957
PENDAFTARAN RASMI PARTI PERIKATAN
Pada hari ini dalam tahun 1957, Parti Perikatan dengan rasminya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik. Parti Perikatan dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC ini telah ditubuhkan pada bulan Disember 1951. Pada peringkat permulaan penubuhannya ia merupakan gabungan dua buah parti politik yang besar iaitu UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra, dan MCA oleh Sir Tan Cheng Lock. Pada tahun 1954, Parti MIC yang dipimpin oleh Datuk Sambanthan telah menyertai Perikatan. Gabungan parti ini menggunakan lambang ‘Kapal Layar’, berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British. Perlembagaan Parti Perikatan yang telah didaftarkan ini menyatakan, keahliannya terbuka kepada sebarang parti yang bersifat kebangsaan. Sebuah Majlis Kebangsaan telah dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan Parti Perikatan ini. Keahlian majlis ini terdiri daripada 16 orang wakil daripada UMNO, 16 wakil daripada MCA dan 6 orang wakil daripada MIC. Sesungguhnya pendaftaran rasmi ini juga telah membolehkan parti ini diiktiraf sebagai sebuah badan yang sah dan dapat begerak sebagai sebuah parti pemerintahan sehingga membentuk satu asas yang kukuh tampuk pemerintahan negara sehingga sekarang.
HOME >>>>