26 OKTOBER 1963
PERTABALAN SULTAN PERAK
Pada hari ini 26.10.1963, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah ditabalkan sebagai DYMM Sultan Perak yang ke 33. Sultan Idris Shah Ibni Sultan Iskandar telah dilahirkan pada 12 Ogos 1924. Baginda menerima darjatnya yang pertama dalam tahun 1934 bila baginda dilantik menjadi Raja di Hilir. Baginda kemudiannya menjadi Raja Bendahara berikutan kemangkatan ayahanda baginda pada tahun 1938. Apabila Sultan Abdul Aziz mangkat, Baginda telah diangkat menjadi Raja Muda. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1963 baginda ditabalkan dengan rasminya menjadi Sultan bila Sultan Yusuff mangkat. Majlis pertabalan itu merupakan istiadat pertabalan diRaja yang pertama setelah Malaysia mencapai kemerdekaan. Majlis istiadat yang bersejarah itu diadakan di Balai Rong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Upacara telah disaksikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai wakil peribadi kepada yang diPertuan Agong. Turut hadir ialah wakil-wakil peribadi kepada yang diPertuan Negara Singapura, wakil Raja-raja Melayu. Gabenor Pulau Pinang, Melaka dan anggota-anggota perwakilan luar dan orang-orang kenamaan yang dianggarkan lebih kurang 500 orang. Sebagai penutup kepada istiadat tersebut satu istiadat yang diberi nama 'Tabal Jin' diadakan dimana Baginda berdua duduk menghadapi 'perkakas kerajaan'. Istiadat itu dilakukan oleh Raja Chik Muda iaitu Pawang di Raja. Dengan berakhirnya istiadat pertabalan, maka Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Al Marhum Sultan Iskandar Kadasallah diisytiharkan sebagai Raja yang memerintah negeri Perak yang ke 33. Baginda mangkat pada 31.01.1984 setelah menduduki taktah Perak selama lebih kurang 20 tahun.
HOME >>>>