HARI INI DALAM SEJARAH

25 OGOS 1950

PERSIDANGAN AHLI-AHLI PERNIAGAAN MELAYU DI KUALA KANGSAR

Pada hari ini dalam tahun 1950, persidangan Ahli-ahli Perniagaan Melayu yang pertama telah diadakan di Balai Rong Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak. Majlis persidangan ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato Panglima Bukit Gantang dan dipengerusikan oleh Tengku Temenggong Perak. Seramai kira-kira 50 orang wakil daripada 43 buah badan perniagaan Melayu daripada Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor telah hadir. Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Panglima Bukit Gantang menyeru kepada ahli-ahli perniagaan Melayu supaya mengambil manfaat daripada bantuan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan dalam usaha untuk memajukan ekonomi masyarakat Melayu. Persidangan ini kemudiannya telah bersetuju untuk menubuhkan Dewan Perniagaan Melayu Malaya. Sebuah Jawatankuasa telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Dato’ Onn Jaafar bagi merangka rang Undang-undang badan ini. Sesungguhnya, persidangan ini telah menyatukan ahli-ahli perniagaan Melayu dalam satu kesatuan yang akan terus memperjuangkan nasib dan kedudukan ekonomi masyarakat Melayu.

Make a Free Website with Yola.