HARI INI DALAM SEJARAH

 24 OKTOBER 1878

MAHARAJA ABU BAKAR DIIKTIRAF SEBAGAI PEMERINTAH MUAR

Muar atau Kesang pada mulanya adalah sebahagian dari Negeri Johor, tetapi pada 10 Mac   1855 Kesang telah dijadikan sebuah negeri berasingan berikutan satu perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Johor dengan Inggeris. Sultan Ali Iskandar telah dilantik menjadi Yang Dipertua yang pertama. Selepas kemangkatan Sultan Ali pada 20 Jun 1877, Kesang telah mengalami perubahan akibat perbalahan merebut kuasa di antara dua orang putera Baginda, lalu pada 24 Oktober, 1878 Inggeris telah melantik dan mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar, Kesang. Perebutan kuasa di Kesang berlaku apabila Sultan Ali Iskandar telah meninggalkan wasiat supaya melantik Tengku Mahmud iaitu anak baginda dari orang kebanyakan menggantikan baginda. Wasiat ini telah menimbulkan kemarahan Tengku Alam anak dari isteri pertamanya. Tengku Alam berpendapat, beliau lebih berhak menggantikan Sultan Ali. Persengketaan menjadi lebih meruncing apabila penghulu dan ketua-ketua tempatan Muar meminta supaya Inggeris campur tangan. Pada 26 Nov. 1877 Gabenor Negeri-negeri Selat, Gabnor Anson telah memainkan peranannya meletakkan Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar-Kesang dan terus mengiktiraf perlantikan itu pada hari ini dalam tahun 1878. Seterusnya pada 5 Feb. 1879, Maharaja Abu Bakar telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Raja Pemerintah Muar dalam istiadat di Johor Bahru. Pengisytiharan ini telah menimbulkan perpecahan di kalangan penghulu dan ketua-ketua tempatan Kesang-Muar yang masih menyokong kerabat Sultan Ali. Peperangan telah berlaku antara angkatan kerabat Sultan Ali yang diketuai oleh Tengku Alam dengan Maharaja Johor di Jementah pada Oktober 1879 dan tamat pada penghujung tahun 1879. Peperangan ini telah meninggalkan kesan penting terhadap sejarah politik, dan ekonomi Johor kemudiannya, dan bermula dari tahun 1879 Kesang-Muar telah menjadi Jajahan (daerah) Johor hingga ke hari ini.

 HOME >>>>

Make a Free Website with Yola.