HARI INI DALAM SEJARAH

 22 SEPTEMBER 1970

YAB TUN ABDUL RAZAK DILANTIK SEBAGAI PERDANA MENTERI

Pada hari ini 22.09.1970, YAB Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein telah dilantik dengan rasminya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Upacara perlantikan telah dilangsungkan dalam satu majlis ringkas di Istana Negara di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Muazam Shah. Turut hadir di upacara tersebut ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra. Tun Abdul Razak dilantik menjadi Perdana Menteri berikutan persaraan YTM Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri. Beliau dipilih berdasarkan kebolehan, kesungguhan dan pengalaman yang ada pada beliau dalam semua bidang serta diterima oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia. Penglibatan beliau dalam arena politik bermula sewaktu beliau menuntut di London, beliau bergiat cergas dalam Kesatuan Melayu United Kingdom dan Malayan Forum. Beliau memasuki parti UMNO pada tahun 1950 dan dilantik sebagai Ketua Bahagian Pemuda, kemudiannya dalam tahun 1951 dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua UMNO. Pada tahun 1955 beliau memenangi pilihanraya Persekutuan dan dilantik menjadi Menteri Pelajaran. Seterusnya beliau dipilih sebagai salah seorang anggota rombongan Merdeka ke London pada tahun 1956. Selepas negara mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak telah dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri dan semasa kejadian 13 Mei 1969 beliau dilantik sebagai Pengarah Gerakan, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-2 pada hari ini dalam tahun 1970, telah membuka era baru dalam pemerintahan negara, dan pada 23 September 1970, Tun Abdul Razak telah mengumumkan kabinet barunya.

Make a Free Website with Yola.