HARI INI DALAM SEJARAH

 20 OKTOBER 1909

PENUBUHAN MAJLIS PERSEKUTUAN


Pada hari ini dalam tahun 1909, satu persetujuan telah dicapai antara Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk membentuk Majlis Persekutuan setelah termeterinya Perjanjian Perlembagaan Majlis Persekutuan.

Pada tahun 1896 kerajaan Inggeris di dalam usahanya menguasai pentadbiran negeri-negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menukarkan corak pentadbirannya dari sistem Residen yang mendapat tentangan dari Raja-raja dan Pembesar-pembesar Melayu itu kepada pentadbiran bercorak Persekutuan. Perjanjian Persekutuan 1896 yang ditandatangani itu mengandungi janji-janji manis Inggeris untuk menyerahkan kembali kuasa-kuasa sultan sebenarnya tidak dipenuhi. Persekutuan yang ditubuhkan itu telah mengurangkan dan melemahkan lagi kuasa Sultan-sultan dan Majlis-majlis Negeri. Ia hanya menguntungkan pihak Inggeris dari segi ekonomi.

Pada tahun 1903, di dalam Majlis Durbar yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Sultan Perak, Sultan Idris telah menyuarakan bantahan baginda mengenai penubuhan Persekutuan itu dan meminta supaya dapat diadakan satu Majlis Persekutuan yang longgar. Sultan Idris membidas kerajaan Inggeris bahawa kuasa yang sebenarnya sekarang berada di tangan Residen Jeneral dan meminta agar kuasa tersebut dilonggarkan. Tujuan utama Majlis Raja-raja menyuarakan bantuan tersebut adalah untuk menguatkan semula Kerajaan-kerajaan Negeri, Majlis-majlis Negeri dan mengukuhkan kedudukan Sultan-sultan. Di samping itu beberapa kumpulan masyarakat lain terutama gabungan pedagang juga menyuarakan bantahan dan meminta ditempatkan perwakilan mereka dalam kerajaan.

Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu pada awal kurun ke-2O itu sedang mengembangkan pengaruhnya terhadap Negeri-negeri Utara Tanah Melayu. Untuk menarik minat Negeri-negeri Utara Tanah Melayu terhadap pihak Inggeris, bantahan Sultan Idris dan desakan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu itu telah mendapat perhatian Inggeris. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1909, John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah mencapai di persetujuan untuk membentuk Majlis Persekutuan. Di antara lain persetujuan itu menyebutkan:

i) Anggota Majlis Persekutuan terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi Inggeris sebagai Yang Dipertua Residen   Jeneral, empat orang Sultan dan Residen bagi tiap-tiap negeri. Empat orang anggota tidak rasmi akan dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.

ii) Pesuruhjaya Tinggi diberi kuasa melantik ketua-ketua jabatan untuk menjadi anggota majlis apabila dirasakan perlu.

iii) Anggota-anggota tidak rasmi akan dilantik menjadi ahli majlis dalam tempoh 3 tahun.

iv) Majlis Persekutuan hanya berkuasa untuk membincangkan masalah pentadbiran dan menyuarakan pendapat-pendapat tetapi tidak mempunyai kuasa ‘veto' atau sebarang kuasa di dalam hal-hal perundangan.

v) Perundangan akan membincangkan belanjawan negeri dan pentadbiran negeri kecuali mengenai agama dan adat istiadat Melayu.

Tujuan utama ditubuhkan Majlis Persekutuan itu adalah untuk membahagikan kuasa pentadbiran (desentralisasi) yang telah dipegang oleh kerajaan Inggeris. Bagaimanapun dasar 'desentralisasi' Majlis Persekutuan ini meletakkan kedudukan Sultan-sultan setaraf dengan ahli-ahli biasa sahaja dan boleh ditewaskan dengan undi dalam majlis. Sultan-sultan menyedari hakikat ini lalu menarik diri dari menjadi anggota majlis. Sungguhpun dasar desentralisasi mengandungi beberapa peringkat tetapi semuanya adalah bertujuan untuk mengukuhkan kuasa Inggeris dari segi politik dan ekonomi, keadaan ini tidak dapat menarik minat sultan-sultan terutamanya Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu.

Make a Free Website with Yola.