19-12-1956
JAWATAN PENASIHAT BRITISH DI PERAK DIMANSUHKAN
Pada hari ini dalam tahun 1956, DYMM Sultan Perak iaitu Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut telah diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak. Kedua-dua dokumen tersebut adalah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Perak merupakan negeri pertama yang menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Sultan yang mana kuasa baginda hanya terhad kepada hal ehwal Agama dan adat Melayu sahaja. Pegawai British pertama yang menjadi Residen iaitu J.W.W Birch telah dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan tersebut kekal sehingga tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British. Dengan pemansuhan jawatan tersebut, maka berakhirlah sejarah campur tangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak