HARI INI DALAM SEJARAH
17-12-1931
AKHBAR MAJLIS MULA DITERBITKAN
Pada hari ini 17.12.1931, akhbar 'Majlis' mula diterbitkan. Sehingga bulan Mac 1937, ia dikeluarkan dua kali seminggu, kemudian tiga kali seminggu sehingga tahun 1939 dan dikeluarkan sebagai akhbar harian sehingga tahun 1941. Majlis merupakan akhbar Melayu yang pertama dicetak di Kuala Lumpur. Untuk beberapa tahun yang awal (1931-1935), Abdul Rahim Kajai menjadi pengarang Majlis yang pertama. Selepas Perang Dunia Kedua pula pengarangnya yang paling giat dan paling lama membimbing akhbar ini ialah Abdul Samad Ahmad iaitu antara tahun 1949-1954. Dari apa yang telah ditunjukkan oleh 'Majlis' maka ia dapat dianggap sebagai akhbar kebangsaan Melayu yang unggul yang dapat memenuhi selera pembaca waktu itu, kerana perhatian yang ditumpukannya kepada kedudukan orang-orang Melayu keseluruhannya.