HARI INI DALAM SEJARAH

 15 OGOS 1587

PORTUGIS MENYERANG JOHOR LAMA DAN KOTA BATU


Pada hari ini 15.08.1587, Portugis telah menyerang Johor Lama dan Kota Batu di negeri Johor. Peperangan itu merupakan serangan balas Portugis terhadap Sultan Johor, Sultan Ali Jalla Abdul Jalil yang telah bertindak menyerang negeri Melaka pada bulan Januari 1957. Akibat serangan Johor ke atas Melaka itu, kerajaan Portugis di Melaka telah meminta pertolongan Wizurai Portugis di Goa India. Susulan itu, Wizurai Portugis di Goa, telah menghantar satu angkatan perang yang mempunyai 16 buah kapal besar yang diketuai oleh Paulo de Lima Pereira. Bandar Johor Lama terletak di atas sebuah bukit yang memanjang di tebing sungai Johor serta dikelilingi oleh pagar-pagar kayu yang sangat kuat sebagai benteng pertahanan. Di samping itu, berdekatan dengan bandar tersebut terdapat sebuah kota batu yang kukuh dan dinamakan Kota Batu. Walaubagaimanapun Portugis telah berjaya menewaskan kerajaan Johor dan kekalahan itu telah memaksa Sultan Ali Jalla serta pembesar-pembesar baginda melarikan diri mudik ke hulu dan mendirikan pusat pemerintahan yang baru di Batu Sawar, di tepi sungai Johor pada akhir tahun 1587. Sesungguhnya peperangan di antara Portugis dan Johor telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan harta benda serta membawa kepada peperangan yang seterusnya.

Make a Free Website with Yola.