HARI INI DALAM SEJARAH

 15 OKTOBER 1960

PENGIKTIRAFAN KELULUSAN KOLEJ ISLAM


Pada hari ini dalam tahun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil kelulusan Kolej Islam, Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran En. Abdul Rahman bin Hj. Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej  itu.

Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut, dikelolakan oleh sebuah majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej yang berkembang pesat ini telah mendapat bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping bantuan dari beberapa buah negara Islam. Penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini adalah terdiri dari penuntut-penuntut sekolah Arab dari scluruh negara. Kursus yang dijalankan disusun dalam dua peringkat pengajian.

Peringkat pertama mengandungi kursus 3 tahun di mana pelajar-pelajar yang lulus akan mendapat Sijil Rendah yang juga menjadi syarat untuk memasuki pengajian peringkat kedua. Di peringkat kedua pula pelajar-pelajar dikehendaki menamatkan pengajiannya selama 2 tahun dan setelah tamat, pelajar-pelajar yang berjaya dianugerahkan Sijil Tertinggi dan Diploma.

Salah satu tujuan Kolej ini ialah untuk menyediakan bakal-bakal guru agama Islam dan guru bahasa Arab yang secukupnya serta cekap untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah. Di atas kepentingan ini pada hari ini dalam tahun 1960, Kerajaan Persekutuan bersetuju mengiktiraf kelulusan Kolej Islam. Encik Abdul Rahman Talib dalam Majlis Penyampaian Sijil Kolej ini menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berusaha untuk mengawal dan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembangkan agama Islam seperti yang terkandung di dalam perenggan 49 Undang-undang Pelajaran di mana:

i.              Pelajaran Agama Islam akan diajar kepada murid-murid Islam di dalam semua jenis sekolah mulai tahun 1961. Pelajaran ini akan diajar sekurang-kurangnya dua jam seminggu.

ii.             Kerajaan juga akan mengeluarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri khususnya di Asia Barat.

Pengiktirafan terhadap kelulusan Kolej Islam yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1960, sesungguhnya adalah penting dalam menyakinkan orang ramai akan kemampuan kolej ini menjadi institusi pelajaran tinggi Islam di negara ini.

Make a Free Website with Yola.