14 OKTOBER 1967
PERLETAKAN BATU ASAS INSTITUT TEKNOLOGI MARA
Pada hari ini 14.10.1967, upacara perletakan batu asas Bangunan Institut Maktab Teknologi MARA (ITM) telah dilakukan oleh Tun Abdul Razak bin Hussein di Shah Alam, Selangor. Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada awal tahun 1968 dan telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 1972. Tujuan utama penubuhan ITM adalah untuk menampung kekurangan tenaga yang terlatih di peringkat profesional dan separa profesional, terutama di kalangan bumiputera. Sejarah perkembangan ITM telah bermula dalam tahun 1956 apabila Dewan Latihan RIDA ditubuhkan. RIDA atau Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar yang mempunyai matlamat untuk menyelaraskan semua peringkat menjadi satu badan yang mempunyai objektif yang dirancang dan berkoordinasi. Ia bertujuan untuk mengubah suai kehidupan kampung dan meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar. Selaras dengan tujuan untuk merancang program-program pembinaan pusat-pusat latihan, Dewan Latihan RIDA telah ditubuhkan. Pada tahun 1965, ekoran dari resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera, RIDA telah disusun semula dan dinamakan dengan nama barunya iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA). Manakala Dewan Latihan RIDA bertukar kepada nama Maktab MARA dan seterusnya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA. Sejajar dengan perkembangan yang begitu pesat, ITM pada akhir tahun 1970, telah diberi autonomi penuh dan tidak lagi diletakkan di bawah Bahagian Latihan MARA sebaliknya diletakkan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Negara. Institut Teknologi MARA berkembang dengan pesat dan cemerlang dalam kemajuan pendidikan tinggi di tanah air. Pada bulan Jun 1976 Akta Institut Teknologi MARA telah diluluskan oleh Parlimen dan ITM telah diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran.
HOME >>>>