14 SEPTEMBER 1978 PERASMIAN PERAYAAN 100 TAHUN TANAMAN GETAH DI KUALA KANGSAR, PERAK Pada hari ini dalam tahun 1978, Majlis Perasmian 100 Tahun Tanaman Getah Kuala Kangsar telah diadakan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah. Menteri Besar Prak, Wan Mohamad bin Haji Wan Teh berharap seluruh rakyat dapat menggunakan kaedah saintifik dan bantuan yang disediakan dengan sebaiknya untuk menambah pendapatan. Tema sambutan perayaan 100 Tahun Tanaman Getah ialah 'Look Ahead With Confidence'. Sejarah penanaman getah bermula pada Jun 1876 apabila Sir Henry Wickham membawa 70,000 biji benih 'Hevea Brasiliensis' yang diambil dari Lembangan Amazon ke Kew, England. Dalam percubaan tersebut hanya 2,800 benih sahaja berjaya ditanam. Pokok getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada 11 Jun 1877 apabila 22 anak pokok getah dari Sri Lanka tiba di Botanical Garden, Singapura. 13 anak pokok ditanam di Republik tersebut dan 9 anak ppoko lagi ditanam di kawasan Residensi Kuala Kangsar (sekarang Pejabat Daerah Kuala Kangsar). Pokok getah pertama yang ditanam itu masih subur meskipun telah berusia lebih daripada 100 tahun.